Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kapten tak perlekeh anak kapalnya, Ti ingatkan Nazri
Diterbitkan:  Sep 11, 2016 3:18 PM
Dikemaskini: 7:21 AM

Ahli jawatankuasa pusat MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker menolak kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri yang sentiasa angkuh dan mendakwa “Umno bongkak pun kita menang” pilihan raya.

Beliau mengingatkan Nazri - yang juga adalah menteri pelancongan - bahawa beliau hanya mampu menang kerana BN.

"Beliau masih boleh mempamerkan keangkuhannya hari ini kerana dirinya seorang menteri hasil asas kukuh oleh BN dan semua parti komponennya. Pencapaian BN adalah hasil usaha semua parti komponen yang diterajui Umno hari ini.

"Sebagai kapten kapal, kamu tidak perlekeh usaha anak kapal atau mempamerkan keangkuhan diri tanpa rasa malu atau rendah diri. Kamu tidak memberitahu anak kapal kamu bahawa bahawa saya 'bongkak', 'hebat', dan angkuh kerana saya kapten," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mujurlah, katanya, Nazri adalah semata-mata 'pembantu' kapten, atau akan terus menjadi pembantu yang baik kepada kaptennya.

“Seorang kapten tidak akan bersikap ‘kacang lupakan kulit’ apabila kapalnya sedang belayar hasil usaha semua pihak.

“Beliau akan mengingati dengan baik kepentingan kerja berpasukan dan kebajikan anak-anak kapal,” katanya.

Ti mengulas komen Nazri bahawa adalah lebih baik bagi Umno menjadi jaguh kampung yang memiliki 88 kerusi parlimen berbanding MCA, yang hanya mempunyai tujuh kerusi.

“Cakap pada dia (Ti), kalau tujuh MP jangan cakap besar, dia dapat tujuh itu pun sebab banyak bergantung pada penyokong jaguh Melayu Umno ni. Yang menyokong dia semua tu semua jaguh kampung.

“Pada saya lebih baik jadi jaguh kampung menang 88 kerusi daripada macam MCA. Dia jangan kampung pun tidak, jaguh bandar pun tidak sebab Cina sendiri tak sokong dia,” kata Nazri kepada Malaysiakini, semalam, sambil mencabar MCA untuk meninggalkan BN.

Nazri mengulas gesaan Ti supaya Umno mengubah strategi dan mengutamakan survival BN dan bukan hanya parti itu sendiri.

Ti berhujah retorik Umno itu membantu parti Melayu berkenaan memenangi undi di kawasan luar bandar tetapi taktik seumpamanya menghakis sokongan pengundi bandar di kawasan majoriti Melayu dan mengorbankan rakan-rakan gabungan BN.

Mengulas bidasan terbaru Nazri, Ti berkata cabaran supaya MCA meninggalkan BN terpakai juga kepada Nazari.

"Adakah beliau bersedia bertanding (dalam pilihan raya) tanpa logo BN? Bolehkah beliau menjadi seorang menteri jika tanpa BN?

“Adakah beliau akan lompat parti seperti (bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad) dengan membentuk atau menyertai parti baru untuk mencabar BN jika tidak dilantik sebagai menteri?" soalnya.

Ti juga menyelar Nazri yang pernah bertanding di bawah tiket BN, tetapi kelihatan mesra dengan DAP dan setiausaha agungnya Lim Guan Eng.

“Kadang-kadang saya tertanya-tanya sama ada beliau mahu memikat DAP [...] Jika orang seperti Nazri tidak gembira dengan komponen BN, beliau boleh meninggalkan gabungan itu dan menyertai DAP yang dirinya dilihat cukup selesa,” katanya.

Menurut Ti, bertentangan dengan dakwaan Nazri, MCA akan kekal dalam BN dan mengingatkan bahawa kemenangan BN adalah hasil usaha semua parti komponen.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS