Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Abim: Cadangan Noh tak selesaikan isu rumah rakyat marhaen

ULASAN l Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) memandang serius cadangan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan & Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi menterinya, Tan Sri Noh Omar (bawah, kanan) untuk membenarkan pemaju memberikan pinjaman perumahan dengan kadar faedah berjumlah 10 hingga 18 peratus.

Abim menilai cadangan ini tidak memberikan sebarang perkembangan positif ke arah penyelesaian holistik kepada isu pemilikan rumah yang sekian lama membelenggu rakyat marhaen.

Abim khuatir sekiranya cadangan ini bakal dilaksanakan, kadar keberhutangan di kalangan isi rumah rakyat pastinya akan meningkat.

Umum mengetahui bahawa kadar hutang isi rumah rakyat Malaysia sememangnya telah sedia tinggi, antara yang tertinggi di dunia.

Dalam kaitan ini, Abim ingin merujuk kepada kenyataan bahawa sebanyak 18,457 kes kebankrapaan telah difailkan pada 2015.

Dalam kenyataan yang diberi oleh Datuk Chua Tee Yong (Timbalan Menteri Kewangan), sehingga akhir tahun lepas, jumlah hutang isi rumah di negara ini adalah sebanyak RM1,030 bilion dengan 80 peratus terdiri daripada sistem perbankan dan 20 peratus lagi daripada institusi kewangan bukan bank, merangkumi 89.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Dan daripada jumlah itu, 62.6 peratus dilaporkan adalah untuk pengumpulan aset, iaitu pembelian harta tanah dan pelaburan dalam aset kewangan.

Selain itu, kaedah membenarkan pemaju memberikan pinjaman perumahan juga tidak akan menyelesaikan masalah lambakan penawaran perumahan yang berlaku pada ketika ini.

Lambakan penawaran ini berlaku akibat daripada harga rumah yang terlalu tinggi seementelahan amalan spekulasi hartanah yang berleluasa. Ini isu besar yang belum tampak jalan penyelesaiannya sejak sekian lama!

Abim menegaskan buat kesekian kalinya bahawa dalam suasana kenaikan harga rumah serta hartanah yang tidak dibendung ini, tindakan membenarkan pemaju perumahan menawarkan pinjaman pada kadar sebegitu tinggi hanya akan memberikan kesan negatif kepada pendapatan isi rumah rakyat di samping mengancam kestabilan fiskal ekonomi negara.

Walhasil, kesan negatif daripada keadaan tersebut akhirnya akan dirasai oleh rakyat yang berhutang untuk jangka masa panjang.

Justeru menjelang pembentangan bajet 2017 pada sesi parlimen akan datang, Abim mengusulkan cadangan-cadangan berikut diketengahkan dalam rangka perlaksanaan bajet tersebut :-

a) Kerajaan perlu menawarkan fasiliti atau insentif untuk menampung kemudahan perumahan mampu milik sesuai dengan demografi isirumah rakyat Malaysia.

Ini termasuk menyediakan skim tabungan atau khas untuk perumahan untuk membantu rakyat Malaysia menyimpan wang khusus untuk menampung keperluan untuk membeli rumah.

Konsep tabungan ini boleh dirujuk menerusi sistem yang diamalkan misalnya oleh Tabung Haji pada ketika ini.

b) Kerajaan perlu tegas merangka undang-undang untuk mengawal harga rumah yang pada ketika ini tampak tidak dikawal.

Satu mekanisme pengawasan yang ketat ke atas manipulasi spekulasi hartanah di samping penetapan harga siling (paras maksimum) harga rumah perlu ditetapkan.

Penawaran perumahan melangkaui harga mampu milik serta tidak menepati demografi ekonomi rakyat Malaysia secara keseluruhan adalah satu bentuk pembanjiran yang sia-sia serta tidak memanfaatkan rakyat.

c) Kerajaan juga perlu mendapatkan maklumbalas daripada pelbagai pemegang taruh (stakeholders) berkaitan.

Masalah perumahan mempunyai implikasi secara langsung dengan pelbagai sektor seperti perbankan, pemaju perumahan, kesatuan pekerja serta persatuan pengguna, dan masyarakat khususnya.

Rumah adalah kemudahan asasi yang diperlukan manusia. Tanggungjawab untuk memelihara kemudahan asasi ini merupakan sebahagian dari tuntutan kehidupan dan bernegara.

Justeru ia adalah sebahagian daripada tuntutan yang perlu dipenuhi oleh pihak pemerintah yang bertanggungjawab.


MUHAMMAD FAISAL ABD AZIZ adalah Setiausaha Agung, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim)


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS