Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hanya bertujuan beri pilihan kepada pembeli - Noh Omar
Diterbitkan:  Sep 10, 2016 4:49 PM
Dikemaskini: 8:52 AM

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar hari ini menjelaskan cadangan yang beliau lontarkan untuk memberi lesen pemberi pinjaman wang kepada pemaju perumahan adalah satu pilihan kepara mereka yang berhasrat membeli rumah.

"Untuk makluman, banyak rumah mampu milik telah dibina oleh pihak pemaju swasta dengan ada juga yang sudah diberi tawaran tetapi berdepan masalah pula dengan pihak bank.

"Cadangan ini bertujuan memberi peluang kepada para pembeli yang tidak mendapat pinjaman dari bank konvensional dan pada masa yang sama, menggalakkan lebih ramai pemaju bekerjasama dgn KPKT untuk menyediakan rumah mampu milik," kata beliau dalam kenyataan.

Semalam, Gerakan Pengguna Malaysia (MCM) membantah pengenaan kadar faedah yang terlalu tinggi iaitu antara 12 hingga 18 peratus setahun di bawah cadangan oleh kerajaan untuk memberi lesen pemberi pinjaman wang kepada pemaju perumahan.

Presiden MCM, Darshan Singh Dhillon berkata, rakyat di negara ini telahpun mempunyai akses kepada pemberi pinjaman wang berlesen jika timbul keperluan untuk berbuat demikian.

"Jadi mengapa perlunya untuk mewujudkan satu lagi segmen baru peminjam seperti ini?," kata beliau dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Noh berkata, kerajaan mempertimbangkan cadangan itu untuk membantu pembeli rumah yang menghadapi kesukaran mendapat pinjaman bank dan menangani masalah bayaran pendahuluan.

"Justeru itu saya mencadangkan supaya pemaju perumahan berkelayakan terutama syarikat mempunyai sumber kewangan yang banyak seperti Sunway Group, EcoWorld, Mah Sing dan Glomac diberi lesen pemberi pinjam wang.

"Ia akan hanya terhad kepada penyediaan pembiayaan akhir untuk pembeli rumah berkelayakan, yang mengalami kesukaran memperoleh pinjaman dari bank," tambah Noh lagi.

Dalam reaksi berhubung cadangan itu, Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli menyifatkannya sebagai keputusan paling gila mengenai perumahan dan kewangan negara.

Mengulas lanjut, Noh berkata, beliau terbaca banyak kenyataan daripada beberapa pihak tentang cadangan itu.

"Kesimpulannya, cadangan ini untuk memberi pilihan kepada pembeli jika tidak mendapat pinjaman bank, mereka boleh pinjam dengan pemaju.

"Terpulanglah kepada pembeli untuk membuat keputusan, pilihan di tangan mereka dan ia baru cadangan, KPKT akan membuat kajian menyeluruh berkenaan perkara ini," tambah Noh.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS