Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sultan beri gelaran, lantik konsort baru jadi permaisuri
Diterbitkan:  Sep 9, 2016 12:54 PM
Dikemaskini: 5:04 AM

Sultan Selangor berkenan mengurniakan darjah kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor yang membawa gelaran Datin Seri Paduka kepada konsort (isteri) baginda.

Setiausaha Dewan Diraja Selangor Hanafisah Jais dalam kenyataan dari Istana Alam Shah, Klang berkata pengurniaan itu dibuat setelah badan itu berunding dalam sidang semalam.

"Baginda juga berkenan melantik konsort (isteri) baginda, Yang Amat Berbahagia Puan Norashikin binti Abd Rahman sebagai Tengku Permaisuri Selangor berkuat kuasa 8 September 2016 dengan gelaran: Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Permaisuri Norashikin," kata Hanafisah.

Sultan Sharafuddin Idris Shah selamat diijab kabul dengan Norashikin (gambar), pembaca berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang, pada 31 Ogos lepas.

Sultan Sharafuddin dan Norashikin dinikahkan oleh Mufti Selangor Datuk Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid dalam majlis pernikahan yang sederhana dan ringkas atas titah baginda.

Sultan Sharafuddin dilahirkan di Istana Jema'ah Klang (kini Kolej Islam Sultan Alam Shah) pada 24 Disember 1945.

Ini adalah pernikahan ketiga baginda selepas mendirikan rumah tangga dengan Raja Zarina Raja Tan Sri Zainal pada 1968 tetapi bercerai pada 1986 dan kemudian berkahwin dengan Puan Nur Lisa Abdullah (rakyat Amerika) tetapi berpisah pada 1997.

Baginda mempunyai dua puteri dan seorang putera iaitu Tengku Zerafina,Tengku Zatashah dan Tengku Amir (kini Raja Muda Selangor).

Norashikin, 45, yang berasal dari Kuala Lumpur adalah anak bongsu daripada tiga beradik.

Beliau pernah meraih anugerah Penyampai Berita TV Terbaik di Anugerah Seri Angkasa pada 2005 (ASA2005).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS