Wujudnya Tugu Negara menjadi salah satu simbol penghormatan kepada perajurit yang telah berkorban apa saja bagi mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara.
Ia juga menjadi antara tempat lawatan yang ditawarkan untuk pelancong yang berkunjung ke ibu kota untuk mengenali lebih dekat sejarah rakyat membangunkan negara ini.
Tugu Negara siap dibina pada 8 Febuari 1966.
Baru-baru ini timbul isu kewajaran - dari segi agama - binaan itu berada di tempatnya. Pada masa sama kerajaan juga mengumumkan peruntukan lebih RM600 juta untuk projek pengindahan bandar raya yang akan dibangukan di sekitar Tugu Negara.
Justeru, bagi mendapatkan reaksi orang ramai mengenai sejauh mana tugu peringatan itu ada, Malaysiakini membuat tinjauan rambang di sekitar ibu negara.
Rata-rata mereka tidak bersetuju atau berasakan gesaan merobohan Tugu Negara sebagai tidak wajar.
Mohammad Khalid misalnya berkata Tugu Negara itu membawa nilai sejarah tersendiri, justeru tidak wajar untuk dipolitikkan.
“Ikut secara logiknya tidak ada kena mengena pun nak dirobohkan atau tidak (Tugu Negara itu). Iia cuma tugu peringatan bagi memperingati mereka yang berjuang untuk negara.
"Ia ada nilai sejarah sendiri, jadi ia tidak perlulah dipolitikkan dengan menggunakan agama,” katanya.
Untuk generasi depan
Begitu juga dengan Mohammad Kamal Zaman yang mahu mercu tanda itu terus kekal membina sejarah negara.
Malah, Mohammad Kamal turut mempersoalkan kalau benar apa yang dikatakan pihak yang tidak bersetuju, mengapa tidak dari dulu lagi ia dimusnahkan.
“Tak wajarlah (dirobohkan) sebab ia khazanah negara dan kalau nak robohkan kenapa tak dari dulu? Kenapa baru sekarang? katanya.
Bagi Farah Hanim pula tugu terbabit adalah satu binaan bersejarah yang perlu diketahui generasi akan datang.
“Tak wajarlah (dirobohkan) kerana ia telah lama dibina dari dulu lagi dan generasi akan datang nak tengok juga tugu tersebut sebab ia satu sejarah,kan?” kata Farah.
Nada yang sama turut dikongsikan Nur Amira. Dia malah meminta supaya ada pihak tertentu tampil mempertahankan Tugu Negara secara terbuka.
“Tak wajarlah sebab ia khazanah negarakan kenapa nak dirobohkan? Jadi, dalam perkara ini kena ada pihak-pihak yang perlu bertanggungjawablah untuk mempertahankan (tugu negara),” tegas Nur Amira.
Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim sebelum ini dilaporkan sebagai berkata, sesuatu replika yang menyerupai makhluk bernyawa adalah haram mengikut pandangan Islam.
Laporan itu menyebut Zamri menjelaskan perkara itu selepas menerima surat rasmi daripada sebuah pihak berkuasa tempatan yang tidak dinamakannya yang bertanyakan hukum membuat replika burung helang untuk tempat berkaitan binatang itu.
Tuntut beri nyawa
Bagaimanapun, Zamri menjelaskan kenyataannya berkaitan larangan pembinaan replika haiwan tidak merujuk kepada Tugu Negara atau replika helang ikonik di Pulau Langkawi.
Jelas beliau, pihaknya hanya merujuk isu setempat di Perak dan kenyataannya dibuat berdasarkan soalan yang diajukan kepada Jabatan Mufti Perak.
Ekoran kenyataan itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuah, Nor Saidi Nanyan tampil menyatakan bahawa pihak berkuasa agama Islam tidak boleh mengambil sikap memilih berhubung isu replika awam yang dianggap haram dan tidak mengkhususkan kepada patung raksaksa helang yang ada di Langkawi sahaja.
Bahkan bagi mendapatkan pandangan agamawan bagi status Tugu Negara Malaysiakini menghubungi Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria.
Dan dalam reaksi segera Harussani beliau menyatakan sedangkan membina tugu menyerupai haiwan sebenar sudah haram, apatah lagi berbentuk manusia.
Kata Harussani, membina tugu berbentuk manusia memang jelas haram hukumnya dan suatu ketika nanti tuhan akan menuntut supaya binaan itu diberi nyawa.
Selain menganggapnya sebagai "dosa besar" Harussani berpendapat peruntukan besar bagi projek pengindahan taman di sekitar Tugu negara sebagai pembaziran besar negara.
Bercakap kepada Malaysiakini Harussani menjelaskan kesalahan itu menjadi lebih besar apabila binaan tugu itu mengundang manusia untuk memuja binaan tersebut.
Bagaimanapun mengulas sejumlah RM650 juta peruntukan yang disediakan bagi tujuan memperindahkan kawasan sekitar tugu terbabit rata-rata orang yang ditemui tidak bersetuju dan mendakwa ada banyak perkara lagi yang perlu kerajaan lihat.
“Nilai itu sangat tinggi dan kalau hanya mendatangkan pembaziran buat apa?" soal Salina Fauzi.
Namun, bagi Mohammad Khalid ada pro dan kontranya hasrat kerajaan membangunan Taman Tugu itu.
“Kalau kerajaan boleh kurangkan (peruntukan) itu sedikit, ia lebih baiklah sebab dalam keadaan sekarang bajet itu perlu diberikan sama rata sebab banyak lagi infrastuktur di Malaysia ini yang perlu diperbetulkan,” katanya.