Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan luluskan pendaftaran BERSATU dengan syarat...
Diterbitkan:  Sep 8, 2016 10:43 AM
Dikemaskini: 5:10 AM

Pendaftar Pertubuhan (ROS) sudah meluluskan permohonan Parti Pribumi Bersatu Malaysia untuk menjad parti politik sah di negara ini.

Bernama melaporkan keputusan penerimaan secara prinsip itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Akronim bagi parti itu pula ditetapkan sebagai PPBM dan bukan BERSATU.

Kata Ahmad Zahid kelulusan rasmi diberikan selepas parti berkenaan membuat penjelasan kepada ROS mengenai peranan dan fungsi presiden serta pengerusinya.

Parti berkenaan ditubuhkan selepas beberapa tokoh pemimpin Umno dan ahli parti itu tidak sependapat dengan Datuk Seri Najib Razak menangani pelbagai isu semasa dalam negara, termasuk 1MDB.

Bercakap dalam sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya, Ahmad Zahid berkata penggunaan akronim PPBM bukan atas arahan ROS, sebaliknya atas permintaan parti itu sendiri semasa mendaftarkan permohonan sebelum ini.

"Dalam permohonan awal, mereka mahu menggunakan nama panggilan parti sebagai BERSATU tetapi selepas pihak ROS membuat semakan nama itu telah banyak digunakan oleh parti dan pertubuhan lain.

"Selepas rundingan semula dibuat, pihak parti memohon meletakkan akronim PPBM dan ROS meluluskannya seperti yang dipohon," katanya, sambil menambah nama BERSATU telah digunakan oleh enam parti dan pertubuhan setakat ini.

Kelulusan itu juga membabitkan sedikit perubahan pada logo berbanding logo asal semasa permohonan dibuat, katanya.

Ahmad Zahid berkata beliau tidak campur tangan dalam kelulusan permohonan tersebut serta menegaskan permohonan mana-mana parti atau organisasi akan diluluskan jika mematuhi syarat-sayarat dalam Akta Pertubuhan 1966.

Ditanya risiko PPBM sekiranya menggunakan nama BERSATU bagi mempromosikan parti itu, Ahmad Zahid berkata mereka secara rasmi telah melanggar perlembagaan parti tersebut.

"Sekiranya mereka masih menggunakan nama BERSATU tindakan pembatalan pertubuhan itu boleh diambil ROS berdasarkan Akta Pertubuhan," katanya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bulan lalu menyerahkan permohonan bagi mendaftar sebuah parti baharu dikenali sebagai Parti Pribumi Bersatu Malaysia atau BERSATU di ROS.

Hadir sama dalam sidang media itu Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Ketua Pengarah ROS Datuk Mohammad Razin Abdullah.

Permohonan pendaftaran parti itu diserahkan sendiri presiden penajanya Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada ROS pada 9 Ogos lalu.

Walaupun sesetengah pihak menjangkakan parti itu tidak memberi kesan besar kepada Umno ahli politik veteran pula berpendapat sebaliknya.

Bekas menteri kewangan Tengku Razaleigh Hamzah adalah antaranya.

Pada 24 Ogos lalu Malaysiakini melaporkan beliau mengingatkan pemimpin Umno supaya tidak mengambil mudah serta memperlekehkan BERSATU.

Katanya, semua pihak, khususnya Umno perlu memandang serius penubuhan parti baru itu kerana ia dianggotai mereka yang berpengaruh serta pernah berada dalam Umno.

Antara tokoh yang disebut ahli parlimen Gua Musang itu ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi pengerusi parti berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS