Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Roboh tugu helang Langkawi: Exco Kedah sedia bincang

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri Kedah, Datuk Badrol Hisham Hashim sedia mengadakan perbincangan berhubung isu tugu helang di Langkawi.

"Kita akan tengok apa pandangan mufti dan kita bersedia untuk berbincang," kata Badrol Hisham kepada Malaysiakini.

Badrol berkata demikian mengulas perkembangan terkini isu replika burung helang di Langkawi yang disifatkan sebagai haram kerana menyerupai haiwan hidup.

Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim sebelum ini dilaporkan sebagai berkata, replika burung helang sebagai mercu tanda adalah haram kerana berbentuk haiwan hidup.

Laporan itu menyebut Zamri menjelaskan perkara itu selepas menerima surat rasmi daripada sebuah pihak berkuasa tempatan yang tidak dinamakannya yang bertanyakan hukum membuat replika burung helang untuk tempat berkaitan binatang itu.

Bagaimanapun, Zamri menjelaskan kenyataannya berkaitan larangan pembinaan replika haiwan tidak merujuk kepada Tugu Negara atau replika helang ikonik di Pulau Langkawi.

Jelas beliau, pihaknya hanya merujuk isu setempat di Perak, terhadap soalan yang diajukan kepada Jabatan Mufti Perak.

Susulan daripada itu, beberapa hari kemudiannya, Malaysiakini melaporkan Mufti Kedah akan berbincang dengan majlis jawatankuasa fatwa terlebih dahulu jika terdapat gesaan supaya tugu helang di Langkawi dirobohkan atas faktor haram dari sudut agama.

Timbalan Mufti Kedah, Sheikh Marwazi Dziyauddin berkata selepas perbincangan rasmi, perkara itu akan dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya tindakan susulan diambil.

Anggota Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad pula ketika dihubungi Malaysiakini berkata, beliau tidak pasti sama ada mesyuarat mengenainya sudah dibuat atau belum kerana berada di luar kawasan.

“Saya di Kuala Lumpur ada mesyuarat PAC maka saya tak tahu sama ada mesyuarat sudah dipanggil atau belum,” kata Nawawi.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Kerja Raya, Pelancongan dan Warisan negeri Kedah, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid gagal dihubungi kerana berada di Mekah untuk menunaikan ibadah Haji.

Langkawi merupakan pusat tumpuan pelancongan yang antara tarikan utamanya ialah patung seekor helang yang bersedia untuk terbang di Dataran Lang berhampiran Jeti Kuah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS