Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kerajaan hari ini bersetuju untuk mengkaji keperluan bagi mewujudkan satu undang-undang khas berkaitan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata langkah tersebut diambil ekoran gesaan Perdana Menteri untuk menubuhkan sebuah pasukan petugas bagi menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan isu berkaitan wanita dan kanak-kanak dapat ditangani dengan baik.

“Jawatankuasa task force telah bersetuju untuk buat satu kajian kemungkinan wujudkan satu undang-undang baru bukan saja melihat secara khusus elemen keterangan mereka yang menjadi mangsa.

“Adakah kita mahu beban bukti yang sama atau kita mahu lihat ia secara berbeza,” kata Azalina.

Azalina berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Task Force Jenayah Seksual mengenai cadangan wujud akta baru di bangunan Parlimen hari ini.

Datuk Seri Najib Razak semasa sambutan Hari Wanita Kebangsaan tahun ini mengumumkan penubuhan sebuah pasukan petugas dengan kadar segera bagi mengkaji dan meneliti isu-isu berkaitan jenayah seks, terutamanya jenayah rogol yang membabitkan kanak-kanak.

Mengulas lanjut, Azalina berkata dalam mesyuarat pertama ini beberapa isu telah dibangkitkan antaranya kes jenayah seksual yang berlaku di dalam talian yang semakin membimbangkan dengan mengambil contoh kes Richard Huckle.

Malah, fokus tersebut juga akan diberikan kepada jenayah yang berlaku diperingkat awal kanak-kanak.

“Kalau kita sebut kanak-kanak ini contohnya dalam umur yang masih belum bercakap yang menjadi mangsa jenayah seksual, kes sebegini perlu diselesaikan dengan cepat kerana kes tersebut mengambil masa yang terlalu panjang sehinga empat, lima tahun.

“Dalam tempoh ini kanak-kanak terbabit sudah besar dan mereka akan berasa malu dengan apa yang berlaku ekoran kandungan bukti yang tidak mencukupi atau ketiadaan saksi.

"Justeru, perbincangan lanjut mengenainya akan melibatkan elemen perbincangan undang-undang khas, pengkhususan kepada pihak agensi terbabit seperti polis yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu kemudian melihat kepada mahkamah khusus pakar jenayah,” kata Azalina.

Sehubungan itu, beliau berharap pada mesyuarat akan datang yang dijangka akan diadakan dalam tempoh dua minggu, agensi yang terlibat dapat membentangkan laporan yang lebih teperinci mengenai garis panduan terhadap undang-undang baru ini.

Task force ini dianggotai oleh Jabatan Peguam Negara, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia, Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) dan Unicef.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS