Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penganalisis: Benarlah, tiada musuh abadi dalam politik

Penganalisis politik melihat salam Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas 18 tahun bermusuhan benar-benar membuktikan tiada musuh yang kekal abadi dalam politik.

Pengarah Pusat Pengajian Pertahanan dan Keselamatan Antarabangsa, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia Profesor Madya Lt Kol Ahmad Ghazali Abu Hassan melibat apa yang berlaku menggambarkan perkembangan sihat dan kematangan demokrasi.

“Pada saya ia perkembangan sihat. Ini pucuk-pucuk bunga-bunga kematangan demokrasi. Walaupun punyai perbezaan pendapat politik, tetapi mereka bersatu atas dasar kepentingan negara.

“Tidak bermakna sudah tidak wujud perbezaan politik. Mereka masih ada perbezaan politik.

“Perjumpaan ini saya lihat berkaitan maruah negara, bukan lebih pada politik. Saya rasa kalau mereka bersatu dan boleh bekerja demi kepentingan negara, itu kita telah capai tahap kematangan politik,” katanya kepada Malaysiakini semalam.

Semalam Dr Mahathir hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menyatakan sokongan terhadap permohonan Anwar Ibrahim bagi mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.

Bekas perdana menteri yang memecat Anwar pada 1998, ketika itu timbalannya, diiringi oleh Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dan bekas pemimpin akar umbi Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Langkah itu dilihat sebagai sokongan moral terhadap Anwar kerana kedua-dua pemimpin itu kini senada menentang akta itu dan menolak kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Sementara itu, Ahmad juga melihat perkembangan itu sebagai tanda-tanda penyatuan baru politik.

“Apa yang mereka perlu buat mereka sekarang mungkin nak bersatu dan tunjuk mesej jelas kepada rakyat (tapi) saya rasa yang pentingnya semua orang perlu tampil dengan pendirian sendiri dengan mengetepikan perbezaan politik,” katanya sambil menegaskan ia pandangan peribadi beliau.

Simbolik lupakan sejarah silam

Sementara itu, Ketua Kluster Politik Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa MKN Profesor Madya Datuk Seri Mustafa Ishak pula menyifatkan pertemuan tersebut adalah simbolik bagi melupakan sejarah silam masing-masing.

Katanya dengan pertemuan seperti ini, BN perlu melihat ini sebagai satu cabaran yang besar dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Pertemuan itu simbolik berkemungkinan mereka dah sedia lupakan permusuhan silam dan buka lembaran baru kerjasama mereka, sebab dulu cakap nak kerjasama dalam Pakatan Harapan nak lawan BN.

“Mereka mulakan satu politik baru yang tak boleh diambil ringan oleh Umno dan BN dan mereka (Umno BN) harus lihat ini sebagai satu cabaran besar menghadapi PRU dalam suasana politik negara selepas ini,” katanya.

Kata Mustafa, beliau melihat dalam politik tidak ada kawan dan musuh yang kekal abadi, sebaliknya yang ada hanyalah rundingan.

“Dengan itu membawa keuntungan atas kepentingan politik. Seteru, kawan dan lawan boleh berubah dalam sekelip mata untuk bolehkan capai dan jayakan kepentingan mereka,” katanya.

Mustafa menambah, apa yang berlaku tidak memeranjatkan kerana dalam politik segalanya boleh dijangka, namun tindakan kedua tokoh ini pasti akan membawa kesan yang besar dalam politik tanah air.

Mengejutkan, kata Atory

Selain itu penganalisis politik Profesor Ahmad Atory Hussien pula berkata perkara tersebut mengejutkan kerana ia belum pernah berlaku sejak Anwar disingkir pada tahun 1998.

Katanya, pembangkang dan Dr Mahathir kini sanggup berbaik semula untuk berdepan dengan ancaman yang bakal dihadapi bersama.

“Dalam politik tidak ada musuh yang kekal dan tidak ada kawan yang kekal. Cuma dalam suasana politik negara yang sangat gawat oleh isu Najib.

“Pembangkang termasuk Tun (Mahathir) sanggup berbaik-baik semula untuk berdepan dengan ancaman bersama.

“Mungkin juga terpenjaranya Anwar adalah angkara konspirasi politik yang mungkin baru diketahui oleh Dr Mahathir,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS