Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP Dr Tan Seng Giaw mendakwa persepsi masyarakat bukan Islam terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Pindaan Akta 355 banyak dipengaruhi oleh media sosial.

Tan berkata walaupun pindaan terhadap akta itu belum dibentangkan secara terperinci oleh Anggota Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, namun ia dibincangkan secara meluas di laman sosial hingga wujudnya pertikaian yang mengaitkannya dengan hudud.

Malah, Tan berkata ada juga ahli politik menggunakan isu agama ketika membincangkan cadangan pindaan itu dan menyemarakkan sentimennya sehingga menimbulkan ketakutan di kalangan rakyat berbilang kaum.

"Kita mesti pandang ke seluruh negara apakah perasaan bukan Islam kerana kita ada latar belakang (berbeza) sejak kemerdekaan lagi, ada ahli-ahli politik daripada pelbagai parti mahu menonjolkan diri menggunakan isu agama dan perkauman. Tambah pula media sosial.

"Sebelum kita bahaskan perkara ini (ia) disebar luas di seluruh negara. Tiap orang bukan Melayu takut dan sensitif terutama apabila ia dibentangkan oleh PAS kerana di Kelantan dan Terengganu ada enakmen hudud," kata Tan.

Beliau berkata demikian sebagai panel Wacana Sinar Harian Siri ke-41 bertajuk Pindaan Akta 355: Antara Realiti dan Persepsi di Shah Alam hari ini.

Inilah masalah kita

Tambah anggota parlimen Kepong itu lagi, kemudian wujud pula persoalan tentang hak bukan Islam selepas RUU itu dipinda selain tanda-tanya sama ada akta ini adalah strategi awal PAS untuk melaksanakan hukum hudud.

"Macam mana kita boleh elakkan prasangka dan emosi di Malaysia?

"Sebab itulah saya di sini hendak semua pihak terutama yang mahu membentangkan (RUU) supaya faham apa perasaan (orang lain), adakah akan dipinda perkara dalam Perlembagaan Persekutuan (hingga) mendiskriminasi agama lain?

"Adakah (cadangan pindaan akta) itu (laluan) pintu belakang (untuk pelaksanaan) hudud? Inilah masalah kita," kata Tan.

Kebimbangan sama disuarakan Naib Presiden MCA Gan Peng Sieu.

Gan yang juga Ketua Pasukan Pelaksanaan Dasar dan Undang-undang Syariah MCA berkata partinya mencurigai tujuan sebenar cadangan pindaan akta tersebut.

"Antara sebab MCA bantah termasuk sama ada RUU yang akan dipinda itu akhirnya adakah akan bercanggah dengan hak bukan Islam.

"Apakah agendanya? Adakah (ia) agenda hudud PAS?" katanya lagi.

Kebimbangan parti itu memuncak apabila dakwanya wujud laporan dalaman Jawatankuasa Teknikal Syariah oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) , ia adalah fasa sebelum pelaksanaan hudud di seluruh negara.

"Walaupun saya yakin Jakim tidak berhasrat melaksanakan hudud tetapi pada Mei 2014, laporan dalaman Jawatankuasa Teknikal Syariah Sivil secara singkatnya ia adalah cadangan hudud berfasa seluruh negara.

"Dengan mengambil pendekatan dua fasa untuk melaksanakannya - iaitu (melalui) pindaan Akta 355, macam mana kita tidak risau," kata beliau.

Gan pada akhirnya meluahkan rasa kecewanya apabila pindaan akta itu tidak dibawa dalam Majlis Tertinggi BN agar komponen parti dimaklumkan terlebih awal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS