Semua kematian dalam tahanan perlu disiasat sebab kematian, kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) selepas pemeriksaan di Pusat Tahanan Imigresen Juru di Pulau Pinang.
Suruhanjaya itu membuat cadangan itu selepas lawatan delegasi itu hampir dua minggu lalu dengan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).
Ini berikutan terdapat aduan tahanan mati akibat penderaan, yang dinafikan EAIC selepas pemeriksaan mengejut pada 22 Ogos.
Bagaimanapun Suhakam berkata tiada bedah siasat dijalankan ke atas kematian seorang rakyat Kemboja pada bulan Mei.
"Semasa lawatan itu, Suruhanjaya dan EAIC telah dimaklumkan oleh pegawai-pegawai Imigresen yang dakwaan itu tidak berasas dan bahawa hanya satu tahanan dari Pusat Tahanan Imigresen Juru meninggal dunia pada 2016.
"Menurut pegawai-pegawai Imigresen, tahanan itu, seorang wanita Kemboja, dirawat kerana penyakit jantung di hospital telah meninggal dunia akibat serangan jantung pada Mei 2016.
"Pegawai-pegawai Imigresen juga menunjukkan bahawa tiada bedah siasat dijalankan ke atas si mati kerana koroner berpendapat tidak ada syak ia perbuatan khianat.
"Sehubungan ini, suruhanjaya ini mengesyorkan bahawa inkues termasuk pemeriksaan bedah siasat dijalankan berikutan semua kematian dalam tahanan untuk mengesahkan punca kematian," kata Suhakam dalam satu kenyataan hari ini.
Dakwaan penyeksaan dan kematian dalam tahanan imigresen Malaysia menjadi tajuk utama bulan lepas selepas akhbar harian Kemboja menyiarkan satu artikel terpeinci daripada dua warga Kemboja yang dibebaskan yang dikatakan menyaksikan kejadian itu di Juru.
Artikel itu mencetuskan kebimbangan baru berhubung pusat tahanan imigresen yang penuh sesak di Malaysia dan membawa kepada gesaan untuk siasatan segera.
Walaupun dinafikan Jabatan Imigresen, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa siasatan menyeluruh dan bebas terhadap dakwaan tersebut.