Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Rafii hari ini menyenaraikan bukti didakwanya menunjukkan DAP tidak menghormati Melayu.
Kenyataan itu dikemukakan selepas 13 ahli Melayu DAP mengeluarkan kenyataan bersama menyangkal dakwaan dikeluarkannya dalam forum anjuran Sinar Harian pada Isnin lalu.
Antara yang disenarikan Razlan ialah acara Oktober Fest yang dihadiri pimpinan DAP di tempat terbuka walalupun ia bukan budaya rakyat Malaysia, desakan untuk jawatan menteri besar Perak dan membantah Rang Undang-Undang 355.
Razlan juga memetik kenyataan Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming yang tersebar di Facebook - "Wahai tuhanku, kau kembalikan Malaysia kepada berkiblatkan Amerika dan beragama Kristian" yang tersebar di Facebook semasa Hari Raya Aidilfitri lepas.
"Petikan ucapan pemimpin DAP berbunyi "guna Melayu, skru Melayu" - apakah maksudnya?" kata Razlan lagi.
Dia turut mendakwa Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok "memotong lima ekor babi" di Pulau Pinang sempena meraikan kejayaan DAP dalam pilihan raya umum ke-13 lalu.
"Adakah hal ini tidak benar dan perkara diutarakan ini adalah fitnah semata-mata? (Diminta) 13 Melayu macai DAP sila jawab dan huraikan," ujarnya.
Sementara itu katanya pada PRU 13, Umno telah menambah kerusi di Dewan Rakyat disebabkan sikap DAP yang bongkak dan "tidak hormat" kepada keharmonian bangsa di sini.
"Rakyat Malaysia memberikan kepercayaan kembali kepada Umno adalah disebabkan tindakan gila kuasa yang DAP lakukan di Pulau Pinang dan di Selangor.
"Majoriti rakyat melihat dengan jelas bagaimana di kebanyakan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor terutamanya wakil bangsa lain tidak mendapat tempat walhal wakil DAP yang tidak ada di kawasan berkenaan. Malah di Pulau Pinang hampir tidak ada bangsa lain," katanya.
Tambah Razlan lagi, fakta pilihan raya juga menunjukkan DAP meletakkan hanya sekelumit calon untuk Melayu dan India.
Justeru katanya, DAP tidak berhak membicarakan nasib orang Melayu, Cina dan India termasuk Kadazan, Iban, Murut dan lain-lain "kerana DAP adalah parti sosialis yang tidak akan menerima bangsa sebagai kepentingan negara.
"Kepada Ahli baru DAP ini, sila baca dan faham ideologi DAP," katanya.