Bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa sah menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH) selepas mengumumkannya di sebuah majlis makan malam di Cyberjaya sebentar tadi.
Walaupun tidak begitu mengejutkan pengumuman rasmi penyertaan Husam dalam AMANAH dinanti kerana sebelum ini pembabitannya dengan parti serpihan PAS itu sekadar khabar angin saja.
Selepas membuat sedikit alu-aluan Husam dengan tenang dan bersahaja mengumumkan penyertaannya ke dalam AMANAH.
Katanya selepas dipecat daripada PAS beliau tidak berasa gelisah atau resah.
“Kita semua tenang dengan Islam, kita senang dengan perjuangan Islam oleh itu kita masuk PAS. (Kemudian selepas dipecat) sekarang ada AMANAH, ia menenteramkan hati saya.
"Ia bertepatan dengan apa yang al-Quran beritahu - "jangan kamu bimbang dan takut (jika bersama Islam". Sekarang saya masuk AMANAH supaya hati saya tenteram.
"Saya berdiri di sini dengan nama Allah, bertawakal, saya serahkan diri pada perjuangan AMANAH," katanya di hadapan kira-kira 500 hadirin yang hadir di majlis makan malam Di Ambang Merdeka itu.
Kemunculan di atas pentas AMANAH malam ini bukanlah kali pertama buat Husam.
Pada Januari 2015 lalu beliau pernah berucap dalam majlis makan malam AMANAH di Petaling Jaya.
Husam dipecat daripada PAS pada 6 Mei lalu selepas sering mengkritik kepimpinan parti, termasuk Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaacob yang juga timbalan mursyidul am parti berkenaan.
Selepas empat bulan 'berlayar' tanpa arah yang jelas, Husam kini menyarung 'jersi' baru kerana berpendapat “berjuang bersendirian ternyata bukan suatu pilihan” untuk bekas mahasiswa Universiti Malaya itu.
Husam antara sekumpulan besar kumpulan sederhana yang disingkirkan perwakilan dalam pemilihan PAS di Kuala Selangor pada 2015.
Menurut ADUN Salor itu ramai orang yang ditemui menyarankannya menyertai AMANAH, termasuk individu yang ditemui di dalam teksi, pasar atau lapangan terbang.
Dalam ucapannya Husam yang pernah dilihat sebagai pemimpin pelapis di Kelantan selepas Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata ada pihak yang membandingkan kepimpinan PAS dan AMANAH.
Hanya 'goyang kaki'
Bagaimanapun kata Husam, dalam kepimpinan merit utama bukanlah tinggi rendah ilmu agama mereka sebaliknya kepintaran bacaan politik serta komitmen, pengorbanan dan "suluhan perjuangan" masing-masing.
"Mohamad Sabu (presiden AMANAH) pernah masuk penjara. Adakah orang seperti ini tak ada langsung nilai kepimpinan sehingga yang kita besarkan adalah kelulusan agama padahal merit pada kelulusan itu tak ada," katanya.
Pada masa yang sama, Husam juga mahu AMANAH mengambil alih pemerintahan PAS di Kelantan.
Ia kerana katanya PAS dilihat gagal menyelesaikan masalah yang berlaku di negeri itu, malah isu berkaitan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan 1MDB, parti Islam itu dilihat hanya "goyang kaki" tanpa mengambil apa-apa tindakan.
“(Rakyat Kelantan) nak minta izin AMANAH ambil alih pemerintahan Kelantan. Kita tak nak PAS jatuh diambil oleh Umno yang lebih rakus dengan pelbagai masalah seperti GST dan 1MDB.
“Dan PAS pula goyang kaki. Tiga tahun kita beri ruang kepada pemimpin negeri Kelantan (selesaikan pelbagai isu tapi) yang disiapkan adalah tugu peringatan banjir.
“Kita tidak marah bina tugu tetapi lebih baik siapkan dulu rumah mangsa banjir,” katanya.
Sementara itu, Presiden AMANAH Mohamad Sabu berkata penyertaan Husam tepat padanya kerana parti itu memerlukan individu yang mahir mengenai ekonomi.
“Dari segi angka, saya jauh kalah dengan Husam. Orang seperti dia (boleh) banyak mainkan peranan,” katanya.
Mohamad turut menyeru supaya Husam membawa lebih ramai lagi rakan-rakannya ke dalam AMANAH dalam usaha parti baru itu menuju ke Putrajaya dan selaras dengan prinsip parti itu, Islam rahmat kepada semua.
“Husam, jangan datang seorang, ajak ramai-ramai. (Kita kena) bekerjasama dengan semua pihak untuk betul-betul realisasikan Islam rahmatan lil amin,” katanya.
Sementara itu pada sidang media selepasnya Mohamad berkata AMANAH akan bermesyuarat untuk membincangkan posisi yang sesuai untuk diberikan kepada Husam.
"Kami akan bincang termasuk (dalam) mesyuarat bagi mencari posisi sesuai bagi orang berpengalaman dan berpengaruh seperti Husam ini," katanya.