Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Melayu DAP layan Pemuda Umno WP tanda 'hormat'
Diterbitkan:  Aug 30, 2016 7:15 PM
Dikemaskini: 11:43 AM

Kami telah mendengar ucapan Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Rafii, dalam forum anjuran Sinar Harian di Shah Alam semalam.

Razlan mendakwa DAP tidak pernah hormat pada Melayu, malah menyebut bahawa sekiranya DAP berkuasa, ia tidak akan pernah hormat pada orang Melayu.

Kami sudah biasa dengan Razlan yang sentiasa berkunjung ke ibu pejabat DAP hampir setahun sekali, dengan membawa rombongan kawan-kawannya.

Terbaru beliau hadir membawa duit raya - berupa wang neraka - dan melemparkannya ke muka pegawai ibu pejabat parti.

Sebelum itu, beliau juga pernah mengancam mahu membakar bangunan ibu pejabat parti kami.

Sebagai orang Melayu, kami dididik supaya bersopan santun dan saling hormat menghormati antara satu sama lain, apatah lagi kepada orang yang lebih tua seperti Razlan.

Maka adalah penting bagi Razlan untuk tidak dibiarkan bercakap seorang diri. Justeru kami tampil menjawab kritikannya, dengan semangat demokrasi.

Razlan beruntung kerana mempunyai kulit muka yang tebal dan sanggup untuk terus menjadi pemuka United Malays National Organisation di saat parti itu sedang diserang dari segenap sudut, termasuk oleh bekas presidennya sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kami harap pengorbanan Razlan akan mendapat balasan yang setimpal.

Pun begitu kami ingin menasihatkan Razlan agar memeriksa keadaan dan menyedari bahawa semakin ramai orang Melayu zaman sekarang tidak makan dedak dan tahu dengan jelas bahawa selama ini Umno yang meletakkan Melayu di bawah telapak kakinya.

Melayu di bawah Umno kini adalah Melayu yang diternak seperti ayam daging, diberi makan dedak, biar gemuk dan sihat, sebelum nanti disembelih dengan masalah-masalah seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST), skandal hutang 1MDB, rompakan Lembaga Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), serta ancaman lain ekonomi termasuk risiko bankrap angkara pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan pinjaman isi rumah yang melangit.

'Ayam-ayam' dibela Umno ini disumbat dengan rasa takut hilang kuasa dan rasa takut kepada Cina. Inilah Melayu yang dididik Umno agar ia boleh diserkup dan disembelih dengan mudah, bagi melanjutkan kekuasaan elit Melayu dalam Umno yang kenyang dengan hasil menjarah dompet dan saku rakyat.

Razlan sewajarnya sekali sekala melihat cermin dan bertanya kepada diri sendiri: Melayu jenis apakah yang beliau sudah jadi?

Melayu pengampu kepala skandal 1MDB, atau Melayu yang mahu tegakkan kebenaran dan membela nasib bangsa Malaysia tanpa mengira latar keturunan, agama, ekonomi dan pendidikan?

Adakah Razlan mahu jadi ayam sabung, atau ayam dedak?

Razlan perlu jawab soalan-soalan ini supaya beliau tidak malu dengan anak cucu yang nanti bertanya: “Ketika negara dirompak, awak buat apa?”

Umno adalah masalahnya sekarang, dan Razlan serta juak-juaknya wajar mengikut jejak langkah Dr Mahathir meninggalkan parti berkarat itu, ketimbang menjunjungnya sebagai parti keramat.

Barangkali Razlan akan lebih berhati-hati dalam forum semalam sekiranya tidak bercakap seorang diri, dan ada wakil anak muda Melayu DAP menjadi panel.

Kecewa juga kami kerana tidak menerima jemputan Sinar Harian. Mungkin Sinar Harian pun tidak begitu sanggup menerima hakikat bahawa DAP sudah ramai anggota dan pimpinan anak muda Melayu.

Ditandatangani bersama:
Young Syefura Othman, Ahli Jawatankuasa DAP Selangor
Edry Faizal Eddy Yusof, Ahli Jawatankuasa DAP Selangor
Syerleena Abdul Rashid,, Penolong Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang
Mohammad Firdaus Babh, Setiausaha Pemuda DAP Selangor
Muhammad Shakir Ameer Mohideen, Bendahari Pemuda DAP Selangor
Nor Miswary Ramli, Setiausaha DAP cawangan USJ Subang Jaya
Azfar Faruqi Mohamad Idris, Pengerusi DAP cawangan Taman Seroja
Shukri Mokhtar, Ahli Jawatankuasa Pemuda DAP Subang
Farhan Haziq, Pengarah Pendididkan Politik Pemuda DAP Subang
Numan Afifi, Setiausaha Organisasi Pemuda DAP Subang
Ahmad Irfan Hani, Ahli DAP cawangan Bandar Utama
Izmil Amri, Ahli DAP cawangan Bangkok Lane
Muhammad Khairil Khalid, Naib Pengerusi Penaja DAP cawangan USJ Taipan


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS