Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM pertahan larangan burkini di pantai Perancis

Perdana Menteri Perancis Manuel Valls mempertahankan langkah mengharamkan pemakaian burkini di pelbagai bandai pesisir pantai dengan berkata negara itu terperangkap dalam "perang budaya", selain melihat pakaian renang menutup seluruh tubuh melambangkan perhambaan wanita.

Beberapa keping gambar polis bersenjara mengarahkan seorang wanita muslim membuka sebahagian pakaian renangnya di pantai Nice tersebar di media sosial minggu ini.

Ia mengundang rasa marah ramai penganut Islam di Perancis selain mengejutkan banyak pihak di seluruh dunia.

Dalam perkembangan membayangkan perpecahan dalam kerajaan sosialis menjelang pilihan raya presiden pada 2017, Menteri Pelajaran Perancis yang berdarah Maghribi, Najat Vallaud-Belkacem (gambar), berkata polemik mengenai isu itu menyemarakkan retorik perkauman dan dijadikan bahan meraih keuntungan politik.

Menteri Kesihatan Perancis Marisol Touraine pula berkata nilai sekular yang diamalkan di negara itu tidak bermakna mereka beramal dengan menolak agama.

"Kita perlu bersungguh berjuang menentang Islam radikal, simbol-simbol agama yang menyekat orang ramai ke dalam ruang awam," kata Valls dalam satu temu bual di BFMTV.

Mengulangi pendiriannya mengenai isu itu, perdana menteri Valls berkata pada pandangannya burkini adalah simbol perhambaan wanita.

Badan pentadbiran tertinggi Perancis, Conseil d'Etat, semalam mula mendengar permohonan sebuah kumpulan hak asasi manusia bagi membatalkan pengharaman burkini di bandar pesisir Mediterranean, Villeneuve-Loubet.

Perdebatan mengenai larangan burkini adalah sebahagian daripada kesukaran dihadapi negara sekular Perancis ketika mereka bergelut dengan tindak balas kumpulan jihad tempatan dan militan asing ekoran serangan pengganas di Nice dan sebuah gereja Normandy pada Julai lalu, selain serangan maut di Paris tahun lepas.

Isu keselamatan dan imigresen kini menjadi fokus utama dalam kempen pilihan raya presiden.

Bekas presiden Nicolas Sarkozy yang kembali menyertai saingan untuk kembali ke jawatan itu memberitahu majalah Figaro, Perancis di bawah presiden Francois Hollande menjadi terlalu lembik.

"Burkini adalah aksi politik, aksi militan, sebuah provokasi. Wanita yang memakainnya sedang menguji orangramai," katanya kepada majalah berkenaan dan disiarkan hari ini.

Hormati, raikan perbezaan

Untuk menggambarkan bagaimana isu burkini turut menarik perhatian di luar Perancis, penulis British J K Rowling menulis di Twitter: "Jadi Sarkozy menganggap burkini sebagai provokasi. Sama ada wanita menutup atau tidak tubuhnya, nampaknya kami sentiasa "sengaja cari pasal".

Perancis bukan satu-satunya negara yang mengehadkan pakaian menutup muka dan kepala, dan polemik mengenai asimilasi kembali membara di Eropah Barat selepas siri serangan militan dan krisis imigresen memaksa negara di situ memikirkan semula dasar sempadan terbukanya.

Di Jerman Canselor Angela Merkel mahu larangan terhad ke atas purdah, manakala ahli politik kanan Austria menggesa kerajaan melarang penggunaannya jika ia melitupi badan dan muka.

Di Switzerland wujud desakan untuk mengadakan undian bagi menentukan dasar pengharaman burqa.

Dalam lawatannya ke Paris semalam Datuk Bandar London Sadiq Khan (gambar) mengutuk larangan berkenaan dan berpendapat tiada sesiapa patut mengarahkan apa yang wajar dipakai seseorang wanita.

"Saya tidak fikir ia wajar," katanya kepada akhbar Evening Standard. "Satu daripada kegembiraan di London ialah kami tidak menolak perbezaan begitu saja (sebaiknya) kami menghormati dan meraikannya."

Burkini sudah diharamkan di sekurang-kurangnya 15 bandar di Perancis - dari Corsica ke kawasan pesisir pantai di utara namun pelaksanaan paling kuat dilakukan di kawasan tenggara yang menjadi kubu kuat penyokong pelampau kanan, serta tempat tinggal ramai imigran.

Ia juga merupakan zon subur untuk rangkaian militan Islam merekrut bakal anggota mereka untuk berperang di Syria.

"Stigma yang disebabkan oleh larangan itu "hanya akan menggalakkan kader IS," kata Abdallah Zekri dari Pemantau Kebangsaan Mengenai Islamophobia.

Di pihak kerajaan sekurang-kurangnya dua menteri tampil memberi kenyataan dalam perselisihan terbuka dengan pendirian kerajaan mengenai larangan burkini.

"Untuk berpura-pura bahawa pakaian renang tertutup atau bersantai di pantai dengan pakaian begitu dengan sendirinya mengancam ketenteraman awam dan nilai republik dan melupakan bahawa nilai sekular bertujuan untuk membolehkan setiap orang untuk melindungi identiti mereka," kata Marisol di laman webnya.

Najat pula berkata dia tidak bersetuju dengan pemakaian burkini tetapi menolak hujah Valls bahawa larangan itu berkesan untuk Perancis menghadapi kempen militan.

"Tiada kaitan antara serangan pengganas Daesh (IS) dan pakaian wanita di pantai," katanya kepada stesen radio Europe 1.

- Reuters

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS