Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pulau Pinang kembali dilanda Jerebu
Diterbitkan:  Aug 18, 2016 4:37 PM
Dikemaskini: 9:28 AM

Jerebu mula memenuhi ruang udara Pulau Pinang dan keadaan ini dijangka berterusan hinggga pertengahan September
berikutan tempoh peralihan arah tiupan.

Menurut Indeks Pencemaran Udara (IPU) laman sesawang Jabatan Alam Sekitar, setakat 1 tengah hari ini, bacaan IPU di Universiti Sains Malaysia (USM) ialah 64, manakala Seberang Jaya mencatat bacaan 67, iaitu tahap sederhana.

Bagaimanapun, bacaan IPU di USM didapati meningkat dengan ketara memandangkan bacaan pada 11 pagi hanya 55.

Ketika dihubungi Bernama, Jabatan Meteorologi Malaysia berkata pihaknya membuat pemantauan rapi terhadap pola tiupan angin serta jumlah kawasan yang berpotensi menjadi titik panas.

"Jumlah kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan bertambah dengan ketara sejak seminggu lepas dan kami bimbang angin akan bertiup ke arah semenanjung Malaysia dan memburukkan lagi keadaan jerebu," kata jabatan itu.

Jerebu dianggap suatu masalah yang dialami setiap tahun oleh rakyat Malaysia akibat kebakaran hutan di rantau ini berikutan cuaca panas dan kering, musim monsun barat daya dan pembakaran terbuka yang dilakukan petani untuk membersihkan kawasan tanaman.

- Bernama
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS