Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kit Siang: Najib perkudakan Jho Low atau sebaliknya
Diterbitkan:  Aug 15, 2016 7:01 PM
Dikemaskini: 11:08 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu menjelaskan hubungannya dengan jutawan kelahiran Pulau Pinang Jho Low, kata pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

Lim berkata demikian ketika merujuk peranan Low dalam saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika yang mendakwa dana AS$3.5 bilion diselewengkan daripada 1MDB.

"Biar Najib nyatakan dengan jelas siapa yang perkudakan siapa dalam skandal 1MDB - Jho Low mempergunakan Najib atau Najib mempergunakan Jho Low?

"Siapa yang menipu siapa?" katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, saman DOJ setebal 136-halaman yang difailkan itu memperincikan bagaimana Low membelanjakan wang yang diseleweng itu bagi membeli hartanah mewah dan karya seni, sementara rujukan juga dibuat terhadap pemimpin kerajaan yang tidak dinamakan.

"Adakah Jho Low dalang di sebalik skandal kewangan global 1MDB ... atau adakah Najib dalang yang dirujuk sebagai 'Malaysian Official 1' sebanyak 36 kali dalam saman setebal 136 muka surat DOJ itu?" soalnya.

DOJ memfailkan saman itu untuk merampas aset bernilai lebih AS$1 bilion yang dipercayai dibeli menggunakan wang yang diseleweng daripada 1MDB.

Lim berkata, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen dalam siasatan ke atas 1MDB juga gagal memanggil dua lelaki berkenaan yang adalah kunci kepada isu ini.

"Salah satu sebab mengapa laporan PAC ke atas 1MDB tidak lengkap dan tidak memuaskan adalah kerana dua ekor gajah tidak diendahkan - Najib dan Jho Low, sedangkan mereka penting dalam siasatan untuk setiap fasa skandal 1MDB.

"Saya percaya bahawa pelbagai pemimpin bahagian dan ahli-ahli Umno lebih berminat untuk mengetahui hubungan sebenar antara Najib-Jho Low dan skandal global 1MDB, dan bukannya Najib mengulangi dakwaannya menuduh DAP sebagai anti-Melayu dan anti-Islam," katanya.

Beliau berkata bahawa tidak ada orang yang lebih arif untuk menjelaskan hubungan sebenar kedua-dua mereka, selain diri Najib sendiri.

"Mengapa Najib mesti begitu berahsia tentang hubungannya dengan Jho Low?" soalnya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS