Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kecewa apabila terdapat negara yang menjadi punca pemerdagangan orang masih berada di kedudukan lebih tinggi berbanding Malaysia mengikut laporan dikeluarkan AS.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, dalam keadaan begitu pun Malaysia tetap komited memastikan tiada pemerdagangan orang berlaku serta negara ini berada di kedudukan peringkat pertama berbanding dua ketika ini.

"Apabila kedudukan ditukar dan dipindahkan, ini sesuatu yang tidak adil kerana terdapat negara yang menjadi punca pemerdagangan orang mendapat kedudukan lebih baik berbanding Malaysia. Ini tidak adil.

"Saya ingin sebutkan bahawa Malaysia berusaha bersungguh-sungguh untuk menentukan tidak berlaku pemerdagangan orang di negara ini. Tapi terdapat sindiket antarabangsa yang membawa mereka ini ke negara kita.

"Kita bukan hanya berada di tahap tier (peringkat) dua tapi kita berusaha ke tier satu senarai kebolehpercayaan agar tiada pemerdagangan orang berlaku di negara kita," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap melancarkan Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang 2016-2020 di Putrajaya hari ini.

Kenyataan itu dibuat merujuk kepada Laporan Pemerdagangan Orang disediakan Jabatan Negara AS sebelum ini.

Melalui laporan 2016 itu Filipina menduduki peringkat pertama.

Sehubungan itu, Zahid berkata, pihak berkenaan perlu melihat Malaysia benar-benar serius membanteras aktiviti pemerdagangan orang dengan memberikan penarafan lebih baik kepada negara ini.

Katanya di pihak kerajaan mereka sentiasa serius untuk membuktikan komitmen membasmi aktiviti pemerdagangan orang.

"Tetapi pada waktu sama negara berkenaan atau masyarakat antarabangsa hendaklah menentukan agar negara sumber tidak diberikan taraf yang lebih tinggi daripada kita," katanya tanpa memperincikan perkara tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS