Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Ahmad Said pejuang, tak akan tinggalkan Umno’

Bekas menteri besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dilihat sebagai pejuang yang sayangkan Umno walaupun terdapat pihak menganggap beliau sebagai 'punca' kepada kemelut politik di negeri itu.

Malah kata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri Datuk Mohd Jidin Shafie, segala andaian yang timbul - kononnya ada usul undi tidak percaya - juga tidak berhasil apabila Ahmad Said datang ke sidang DUN hari ini tanpa membuat sebarang 'kejutan'.

Katanya, sidang DUN hari ini juga dihadiri oleh kesemua 17 orang ADUN Umno, sekaligus menafikan dakwaan akan ada ADUN yang memboikot sidang DUN tersebut.

"Ada tanggapan yang mengatakan Ahmad Said mungkin tak datang hari ini dan mungkin akan bawa usul, tapi semua itu tak ada. Ahmad Said datang dan tak bawa usul. Jadi habislah (isu kemelut di Terengganu).

"Tuduhan orang tak betul. Hari ini semua 17 (ADUN Umno) datang, jadi nak kata apa? Ahmad Said seorang ahli Umno, seorang pejuang Umno, bekas menteri besar, bekas pengerusi perhubungan Umno, bekas majlis tertinggi.

"Mat (Ahmad) Said ni mudah, hati dia lembut. Dia sayang Umno," katanya yang mengakui telah lama mengenali ADUN Kijal itu.

Mohd Jidin berkata demikian ketika ditemui selepas sidang DUN di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Beliau yang adalah exco kerajaan negeri sebelum ini disebut antara bakal menjadi menteri besar Terengganu sekiranya Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman disingkirkan.

Selain itu, exco perumahan dan kerajaan tempatan itu turut memberitahu bahawa beberapa wakil rakyat Terengganu telah berjumpa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berikutan 'kemelut' negeri itu pada Sabtu lalu.

Namun beliau enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai pertemuan tersebut.

Susulan pertemuan bersama Najib, Mohd Jidin menganggap presiden Umno itu sebagai seorang yang terbuka kerana sanggup meluangkan masa untuk berjumpa dengan beberapa ADUN dari Terengganu walaupun dalam keadaan sibuk.

"Sebahagian besar pada 6 Ogos lalu bertemu dengan Perdana Menteri. Kita (ADUN) jumpa dulu. Kita pergi berbincang dan minta pandangan daripada dia (Najib) dan mungkin akan dipanggil sekali lagi.

"Perdana menteri sangat terbuka. Walaupun sibuk atau dah lewat dia akan jumpa juga," katanya lagi.

Malaysiakini difahamkan, Ahmad Said didakwa tidak dipanggil untuk bertemu Najib pada sesi tersebut.

Selain itu, ditanya sama ada beliau mengetahui sekiranya Ahmad Said akan 'meninggalkan' parti, Mohd Jidin berkata perkara itu tidak akan berlaku kecuali dipecat oleh Umno.

Bekas ahli parlimen Setiu itu juga memberitahu, hubungan antara Ahmad Razif dan Ahmad Said juga 'baik' memandangkan kedua-duanya mengamalkan sikap terbuka.

"Tak ada (Ahmad Said cakap nak keluar parti). Akan terus berada dalam parti kecuali dia kena buang," katanya lagi.

Sebelum ini, Ahmad Said yang merupakan bekas menteri besar Terengganu dilaporkan sekali lagi mengancam keluar Umno dan akan bekerjasama dengan PAS.

Beliau hanya perlu sokongan seorang lagi wakil rakyat BN untuk membolehkan perkara itu berlaku.

Umno mempunyai 17 kerusi manakala pembangkang pula 15 kerusi dalam DUN.

Sebelum ini, Speaker Datuk Mohd Zubir Embong menolak usul undi tidak percaya Ahmad Said kerana tidak mengikuti tempoh notis 14 hari ini.

Namun pada hari ini, sidang DUN berjalan seperti biasa tanpa ada usul undi tidak percaya dibawa oleh Ahmad Said.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS