Kerajaan negeri Pulau Pinang meminta kerajaan persekutuan memulakan projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang bagi menaikkan kapisiti kepada 10 juta penumpang setahun.
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata lapangan terbang itu kini mencapai kapasiti maksima 6.5 juta penumpang setahun iaitu lima tahun lebih awal daripada tempoh yang dijangka pada 2020.
"Kini Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang amat sesak sehingga ada yang menggelarkannya sebagai 'Pasar Malam Antarabangsa Pulau Pinang'.
"Belum ada cadangan penaiktarafan Lapangan Terbang Pulau Pinang, kecuali projek letak kereta pada tahun depan," katanya pada kenyataan media hari ini.
Lim berkata berdasarkan jawapan bertulis kepada pertanyaan beliau di parlimen Mei lalu, menteri pengangkutan berkata cadangan itu telahpun dikemukakan di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas, dan kini dipertimbangkan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.
Menurut Lim, setakat ini hanya sebuah bangunan lima tingkat tempat letak kereta akan dibina dalam dua fasa dengan kos keseluruhan RM80 juta pada tahun depan.
"Kegagalan membesarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang bukan sahaja akan menjejaskan aliran masuk pelancong luar negeri ke Pulau Pinang, tetapi juga akan memberikan impak negatif kepada pendapatan Malaysia Airports Bhd (MAB) kerana ia paling beruntung bagi MAB selepas KLIA dan KLIA2.
"Oleh itu adalah berkepentingan awam dan nasional agar projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang disegerakan," katanya.