Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib: Laporan polis Khairul adalah tindakan individu
Diterbitkan:  Jul 29, 2016 8:25 PM
Dikemaskini: 12:30 PM

Tindakan Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun membuat laporan polis terhadap tiga bekas pegawai tinggi kerajaan adalah satu tindakan individu, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya perkara itu terserah kepada polis untuk menyiasat dan menentukan sama ada laporan yang dikemukakan Azwan mempunyai asas atau sebaliknya.

"Sebab ini tindakan dibuat atas nama seorang pemimpin, mungkin dia ada maklumat-maklumat tertentu, terserah kepada polis untuk menyiasat dan menentu sama ada ada asas atau sebaliknya.

"Ia tindakan individu. Semua orang sebagai individu ada hak kalau dia fikir ada maklumat, dia ada sesuatu yang dia rasa perlu disiasat pihak polis, dia ada hak, so kita tidak boleh paksa dia buat atau tidak buat laporan polis. Itu terserah kepada dia," katanya.

Perdana menteri berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Azwan pada hari Selasa membuat laporan polis terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dengan mendakwa ketiga-tiga mereka dipercayai terbabit dalam konspirasi menggulingkan Najib dan kerajaan Malaysia.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS