Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR jawab DAP: Jangan samakan PRK, PRN
Diterbitkan:  Jul 25, 2016 11:47 PM
Dikemaskini: 3:51 PM

Tidak tepat untuk Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng membandingkan pilihan raya negeri Pulau Pinang dengan pilihan raya kecil didakwa digerakkan PKR tanpa berunding dengan sekutu parti pembangkang kata Fahmi Fadzil.

Pengarah komunikasi PKR itu berkata pilihan raya negeri - jika diadakan - melibatkan 40 kerusi dalam DUN Pulau Pinang, serta memberi implikasi kepada lebih satu parti.

Katanya ia berbeza dengan tiga pilihan raya kecil yang disebut Lim sebelum ini kerana memberi kesan langsung kepada PKR yang meletakkan calonnya.

"PKR sentiasa menjadi rakan yang konsisten dalam gabungan politik sama ada ia adalah Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat atau Pakatan Harapan.

"Kami sentiasa berunding, mendengar dan bertindak berdasarkan pandangan dibangkitkan rakan dalam gabungan itu, dan akan terus begitu dalam usaha bersama membina Malaysia lebih baik," katanya dalam kenyataan malam ini.

Terdahulu Lim yang juga setiausaha agung DAP berkata parti itu akan membuktikan mereka adalah rakan yang boleh diharap dengan mendapatkan persetujuan bersama mengenai cadangan mengadakan pilihan raya di Pulau Pinang.

Katanya, langkah itu dibuat walaupun PKR tidak bertindak sama untuk mengadakan pilihan raya kecil (PRK) di kawasan parlimen Permatang Pauh serta DUN Penanti di Pulau Pinang serta Kajang di Selangor.

Menurut Fahmi PRK Permatang Paun pada 2008 dan 2015 dibuat kerana "pendakwaan politik berterusan" ke atas pemimpin umum parti berkenaan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PRK pada 2008 diadakan apabila penyandangnya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meletak jawatan bagi membolehkan Anwar kembali ke parlimen selepas tempoh larangan ke atasnya - selama lima tahun - berakhir.

PRK tahun lalu pula diadakan apabila Anwar - yang menjadi MP Permatang Pauh - dihukum penjara untuk kali kedua.

Kata Fahmi PRK Penanti pada 2009 pula dibuat sebagai tindak balas kebimbangan DAP terhadap prestasi ADUN di kawasan berkenaan.

Menurutnya untuk PRK Kajang pula ada beberapa perbincangan dengan DAP dan pimpinan Pakatan Rakyat dilakukan sebelum ia dibuat.

"Selepas kewajaran untuk PRK itu dibentangkan pimpinan DAP memberi sokongan kepada langkah mengukuhkan pentadbiran di Selangor," katanya.

Semalam Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata pilihan raya negeri - jika diadakan di Pulau Pinang - akan memberi suara kepada rakyat berhubung pendakwaan rasuah dikenakan ke atas Lim.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS