Seluruh anggota kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu meletakkan jawatan kerana mereka turut bersalah dengan masalah yang melanda Malaysia kini, kata Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam) Datuk S Ambiga.
"Bukan sahaja Najib yang bersalah tentang apa yang sedang berlaku di Malaysia, tetapi seluruh kabinet.
"Semua menteri-menteri yang tidak berkata apa-apa, ia adalah satu dosa kerana tidak melakukan perkara yang sepatutnya," katanya pada majlis makan malam bagi pengumpulan dana NGO ALIRAN malam tadi.
Ambiga berkata demikian ekoran Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat yang membuat saman sivil terhadap 1MDB.
DOJ mendakwa lebih AS$3.5 bilion wang dalam dana 1MDB telah disalahgunakan dan pihak berkuasa kini berusaha untuk merampas lebih AS$1 bilion aset yang diperolehi dengan wang tersebut.
Kes tersebut membabitkan anak tiri Najib, Riza Aziz dan hartawan kelahiran Pulau Pinang Jho Low.
Selain itu, seorang pegawai awam berpangkat tinggi yang tidak dinamakan tetapi disebut sebagai 'Malaysian Official 1' pula didakwa menerima AS$731 juta daripada dana 1MDB yang disalurkan ke akaun pegawai berkenaan.
Pentadbiran Najib bagaimanapun mengatakan bahawa tindakan yang dibuat DOJ hanyalah satu saman sivil dan bukan saman jenayah.