Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
AG: Peringatan terakhir untuk Lim henti ulas kes rasuahnya
Diterbitkan:  Jul 23, 2016 11:34 AM
Dikemaskini: 3:45 AM

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali hari ini mengingatkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng supaya
berhenti daripada mengulas pertuduhan rasuah yang sedang dihadapnya.

Beliau berkata ini merupakan peringatan terakhir kepada Lim berikutan tindakan setiausaha agung DAP itu yang berbuat demikian sejak pada hari beliau dihadapkan ke mahkamah disebalik telah diingatkan untuk tidak berbuat demikian menerusi akhbar berbahasa Inggeris The Star dan melalui peguam mewakili Lim.

"Saya perlu keluarkan peringatan terakhir ini berikutan komen terbarunya sama seperti 'menyerang' integriti saya sebagai pendakwa raya.

"Saya perlu mempertahankan diri saya terhadap tuduhan tidak berasas seumpama itu yang mempersoalkan integriti saya.

"Dalam usaha mempertahankan diri saya, saya mungkin terpaksa mendedahkan bukti yang ada pada pihak pendakwa raya terhadapnya (Lim)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Apandi yang mengetuai pasukan pendakwa raya dalam perbicaraan Lim berkata, kebanyakan bukti terhadap Lim adalah dalam bentuk dokumen dan semua dokumen itu ada dalam milikannya.

Lim ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Pulau Pinang pada 29 Jun dan esoknya (30 Jun) dihadapkan di Mahkamah Tinggi terhadap dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS