Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man meminta Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Samad agar tutup mulut dan membubarkan parti itu.
Tuan Ibrahim berkata demikian sebagai mengulas cadangan Khalid agar beliau dan Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abd Samad meninggalkan PAS.
“Komen saya, blok pembangkang akan tenang kalau Khalid boleh 'tutup mulut' atau AMANAH dibubarkan,” katanya.
Khalid mencadangkan sedemikian jika PAS tidak lagi sudi atau mampu membawa mesej Islam sebagai rahmatal-lil-’aalamin (rahmat ke seluruh alam).
Bercakap kepada Malaysiakini, Tuan Ibrahim menegaskan, saranan itu dibuat kerana menjangka AMANAH bakal berdepan masalah dalam pembahagian kerusi di kalangan blok pembangkang.
"Saya sebagaimana orang ramai melihat AMANAH akan berhadapan dengan masalah kerusi mana yang akan ditandingi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
"Keadaan ini akan mendedahkan persaingan tiga penjuru sebagaimana dalam pilihan raya kecil (PRK) lalu," tambahnya.
Bagaimanapun, keadaan akan berlaku sebaliknya jika DAP atau PKR bersedia untuk menyerahkan beberapa kerusi mereka kepada rakan dalam Pakatan Harapan itu, jelas Tuan Ibrahim lagi.
Jika tidak, sebab itu adalah lebih strategik dan baik untuk AMANAH diserapkan sahaja ke dalam parti pembangkang sedia ada, ujar beliau.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, negara sebenarnya tidak memerlukan terlalu banyak parti politik dalam blok pembangkang semata mata kerana kecewa atau ingin menjadi pemimpin.
"Sikap 'tidak boleh bekerja di bawah orang' adalah antara sebab muncul pelbagai parti politik," katanya.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut menegaskan beliau tiada mempunyai masalah untuk bekerja bersama Presiden PAS dan saf kepimpinan parti itu yang ada.
"Kami sangat bahagia, seronok dgn kemanisan ukuhwah sangat dirasai.
"Sikap hormat menghormati, berlapang dada dengan perbezaan serta thiqah kepada pimpinan menjadi nadi kekuatan PAS kini," tambahnya.