Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
594 mangsa pemerdagangan manusia kini di rumah perlindungan

Sejumlah 594 mangsa daripada 1,304 kes pemerdagangan dan penyeludupan yang disiasat bermula Januari lepas hingga
semalam, kini ditempatkan di rumah perlindungan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata Kementerian Dalam Negeri akan bertindak menyelamatkan mangsa kes pemerdagangan dan penyeludupan, manakala kementeriannya sebagai pengendali rumah perlindungan kepada golongan berkenaan.

Beliau berkata semua mangsa yang diselamatkan ditempatkan di tujuh rumah perlindungan, masing-masing sebuah di Sabah, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kuala Lumpur serta dua di Johor.

"Mangsa yang diselamatkan terdiri daripada wanita dan lelaki termasuk remaja bawah umur...rata-rata diselamatkan warga asing. Kebiasaannya mangsa akan ditempatkan selama tiga bulan di rumah perlindungan, namun ada juga kes mangsa ditempatkan lebih lama.

"Mangsa yang ditempatkan di rumah perlindungan akan diberi kaunseling serta perkhidmatan lain termasuk berkaitan pemulihan, penghantaran pulang ke negara asal dan usaha mengintegrasikan semula mangsa ke dalam masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Rumah Perlindungan Wanita Sarawak sempena Seminar Literasi Undang-undang dan Pengurusan Emosi di sini hari ini.
Rohani berkata sejak 2008 hingga kini, sejumlah 7,891 kes pemerdagangan dan penyeludupan telah disiasat.

"Daripada jumlah besar itu, 3,224 orang disahkan sebagai mangsa
pemerdagangan dan penyeludupan," katanya. 

Sementara itu, Rohani berkata rumah perlindungan di Sarawak dijangka
beroperasi pada 2018.

"Apabila siap nanti, diharap memudahkan pihak penguatkuasa dalam urusan mengendalikan mangsa pemerdagangan orang di negeri ini. Pada masa ini, mangsa yang diselamatkan di sini dihantar ke Sabah," katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS