Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan bekas presiden parti Melayu itu, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mempunyai kekuatan kerana sudah lama bersara dari politik untuk menerajui parti baru yang bakal ditubuhkan nanti.
Katanya, Mahathir tidak seperti pemimpin veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah dan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempunyai pengaruh dan kekuatan tersendiri.
“Waktu Anwar dipecat dari Umno, Anwar merupakan timbalan perdana menteri yang amat kuat dan kemampuan dari segi sokongan memang mampu menggugat kekuatan Umno waktu itu.
“Tapi Mahathir sudah lama bersara. Bagi saya kekuatan sudah tidak ada berbanding Anwar dan Tengku Razaleigh waktu mereka keluar Umno,” katanya kepada pemberita di Wisma Felcra di Kuala Lumpur, hari ini.
Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata parti yang bakal ditubuhkan itu tidak akan memberi kesan kepada BN dan akan hanya disertai oleh ‘kumpulan yang kecewa’.
“Ia (parti baru) tidak beri banyak kesan kepada rakyat. Mungkin bagi kumpulan-kumpulan yang agak kecewa mereka akan menyertai parti itu,” katanya.
Di sebalik keyakinannya itu, Ismail bagaimanapun mengingatkan pemimpin dan ahli BN supaya tidak memandang rendah dengan kemampuan parti baru itu.
“Saya tak boleh ramal (berapa lama parti itu mampu bertahan) tapi saya rasa tentu tidak mampu menggugat Umno. Tapi bagi BN, apapun parti yang ditubuhkan kita tidak boleh memandang sepi dan ambil mudah.
“Kita mesti teruskan kekuatan kita walaupun kita anggap parti Mahathir dan Pakatan Harapan tidak mampu gugat kekuatan kita.
“Kita mesti kerja kuat dan ahli parti mesti bersatu untuk memperkukuhkan parti dan ke arah pilihan raya ini,” katanya sambil menambah bahawa BN akan memfokuskan kepada kemenangan pada pilihan raya umum akan datang.