ULASAN I Ramadan baru berakhir dan kita seperti tahun-tahun yang lalu masih terbelenggu dengan isu yang sama iaitu pengurusan wang zakat.
Saya rasakan isu zakat ini sudah menjadi rutin seperti isu kemalangan jalan raya di musim perayaan saban tahun.
Setiap tahun serangan kepada institusi zakat adalah seputar hal yang sama iaitu ke mana wang zakat disalurkan.
Sebenarnya tidak sukar untuk menjawab soalan ini memandangkan jawapannya sangat jelas iaitu wang zakat disalurkan kepada lapan asnaf yang telah disebutkan jelas dalam al-Quran iaitu fakir, miskin, amil, muallaf, riqab, gharimin, fi sabillilah dan ibnu sabil.
Untuk memahami lebih sedikit, mari kita lihat takrifan yang dibuat oleh Lembaga Zakat Selangor terhadap lapan asnaf ini.
Saya kira kebanyakan negeri mengguna pakai takrifan yang hampir sama dengan Lembaga Zakat Selangor.
Bagi asnaf fakir, Lembaga Zakat Selangor mentakrifkan sebagai orang Islam yang tiada harta atau pendapatan, atau ada harta atau pendapatan tetapi tidak mencapai 50 peratus daripada had kifayah dirinya dan tanggungannya.
Maka, bagi kelompok masyarakat ini, bantuan zakat akan disalurkan.
Asnaf miskin pula ialah orang Islam yang mempunyai harta atau pendapatan yang hanya boleh menampung lebih 50 peratus keperluan dirinya dan tanggungannya tetapi masih belum mencukupi had kifayah.
Asnaf amil pula ialah pihak yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi mewakili DYMM Sultan Selangor untuk menjalankan tugas-tugas pengurusan zakat meliputi pungutan dan agihan.
Kebanyakan wang pengurusan termasuk gaji kakitangan institusi zakat menggunakan peruntukan asnaf ini.
Pun begitu, kebanyakan institusi zakat sangat berhati-hati menggunakan peruntukan asnaf ini bagi memelihara kemampanan zakat.
Asnaf keempat pula adalah muallaf iaitu seseorang yang baru memeluk Islam atau seseorang yang dijinakkan hatinya dalam kalangan mereka yang belum memeluk agama Islam atau yang perlu ditarik simpatinya kepada Islam atau diharap dapat membela orang Islam atau yang perlu diamankan kejahatannya terhadap orang Islam.
Asnaf riqab ini bermaksud hamba.
Memandangkan zaman sekarang hamba dalam erti kata “per say” sudah tidak wujud, maka takrifan zakat terhadap asnaf ini diperluaskan.
Zakat Selangor mentakrifkan riqab sebagai seseorang yang terbelenggu di bawah suatu kuasa atau keadaan yang menjadi hambatan kepada dirinya bagi menjalani kehidupan yang lebih baik.
Dalam kes ini, penagih dadah umpamanya termasuk dalam takrifan ini.
Kemudian, asnaf Gharimin pula dimaksudkan sebagai orang Islam yang berhutang untuk memenuhi keperluan asas diri dan tanggungannya atau kepentingan masyarakat dan tiada keupayaan untuk membayarnya.
Dalam konteks ini, takrifan ini diperincikan kepada orang Islam yang berhutang untuk memenuhi keperluan asasi bagi permasalahan diri atau keluarga tanggungannya atau orang yang berhutang untuk menyelesaikan masalah masyarakat dan memerlukan:
- Orang yang berhutang itu tidak mampu menjelaskan hutangnya.
- Hutang itu hendaklah dalam perkara taat yang diharuskan syarak.
- Hutang telah sampai tempoh untuk dijelaskan.
Asnaf Fisabilillah pula ditakrifkan sebagai perjuangan, usaha dan aktiviti yang bertujuan untuk menegakkan dan mempertahankan agama Allah manakala Ibnu Sabil ialah orang Islam yang kehabisan belanja semasa memulakan perjalanan atau dalam perjalanan yang mendatangkan manfaat serta sesuai dengan hukum Syarak.
Namun begitu, terdapat syarat yang perlu dipenuhi iaitu putus bekalan dalam perjalanannya, tidak dapat memanfaatkan hartanya untuk meneruskan perjalanan, memerlukan kemudahan asas dalam masalah perjalanan atau ditinggalkan dalam perjalanan.
Zakat Institusi Umat
Zakat adalah insitutusi umat Islam.
Wang zakat adalah wang yang dikeluarkan oleh kita untuk membantu sesama kita.
Institusi zakat seharusnya dibantu bukan dicemuh.
Jika ada fakir miskin di sekeliling kita, bantulah dengan memaklumkan pada institusi zakat.
Ini kerana kakitangan zakat mungkin terlepas pandang ataupun mereka belum sampai ke tempat kita. Mereka juga mempunyai kakitangan yang terhad.
Ambillah iktibar kes penggunaan lorong kecemasan di lebuhraya, apabila netizen sama-sama membantu melaporkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengenai pengguna jalan raya yang menggunakan lorong kecemasan ketika jalan sesak banyak tindakan penguat kuasaan boleh dilakukan.
Saya lihat kebanyakan institusi zakat mempunyai media sosial sendiri untuk memaklumkan aktiviti dan bantuan yang telah disalurkan.
Sebelum kita mengkritik marilah kita lihat apa yang telah dilaksanakan.
Tidak dinafikan ada lagi kekurangan dan kelemahan yang boleh diperbaiki dari masa ke semasa oleh institusi zakat.
Namun untuk “pukul rata” adalah tidak wajar.
Jika kita semua terus menerus menyerang institusi kita, lama kelamaan orang ramai akan kurang percaya dengan institusi zakat dan menyebabkan kutipan menurun.
Ketika kutipan menurun, bagaimanakah zakat akan terus membantu lapan golongan asnaf seperti yang dinyatakan di atas?
MOHD FITRI IBRAHIM Penulis merupakan Pengurus Perancangan Strategik dan Komunikasi Koporat, Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP). Pandangan penulis adalah bersifat peribadi dan tidak mencerminkan pandangan YIPP.
