ULASAN l Kedua-dua pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kanun Keseksaan kerana perbuatan rasuah adalah jelas penganiayaan atau pendakwaan politik yang semata-mata untuk menghancurkan saya sebagai ketua menteri Pulau Pinang.
Saya telah menjelaskan kepada SPRM bahawa pembelian banglo dari Phang Li Koon adalah dilakukan dengan tulus hati, antara individu yang tidak mempunyai kepentingan perniagaan, atas dasar kerelaan penjual dan pembeli tanpa sebarang paksaan atau sebarang balasan istimewa daripada saya mahupun kerajaan negeri.
Phang adalah kawan isteri saya tidak mempunyai hubungan perniagaan yang aktif dengan kerajaan negeri. Dia bukan seorang pemaju perumahan dan banglo dia menjual saya untuk RM2.8 juta telah dibina pada tahun 1980-an.
Terdapat percubaan untuk menyamakan kes saya dengan kes bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo. Ini sama sekali adalah salah.
Tidak seperti kes Khir Toyo, Phang tidak kerugian sebanyak RM5 juta tetapi mencatatkan keuntungan kecil RM300,000 hasil pembelian asalnya pada harga RM2.5 juta.
Tidak seperti kes Khir Toyo, Phang bukan seorang pemaju perumahan baru yang bergantung kepada kerajaan negeri untuk meneruskan perniagaannya.
Bagi pertuduhan kedua berkaitan kelulusan permohonan Magnificent Emblem Sdn Bhd (MESB) untuk menukar status tanahnya daripada tanah pertanian kepada tanah perumahan; MESB tidak berjaya melakukan pertukaran status hartanahnya kepada tanah perumahan.
Hartanah tersebut masih kekal sebagai tanah pertanian.
Apa faedah yang didapati MESB apabila ia tidak mendapat kelulusan pertukaran status terbabit apabila ia tidak mendapat izin akhir daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang.
Saya juga hairan dengan apa yang bermula sebagai serangan politik jahat terhadap saya kononnya menjual tanah Taman Manggis yang sepatutnya diberikan kepada orang miskin akhirnya berakhir tanpa sebarang penghujung.
Apa guna menteri BN kecoh-kecoh tentang Taman Manggis?
Jelas sekali tidak ada apa-apa yang salah dengan penjualan tanah Taman Manggis, dan sebaliknya saya didakwa kerana membuat keputusan bagi MESB yang akhirnya tidak pun memberi mereka sebarang faedah.
Malangnya tidak ada pun tuduhan rasuah apabila wujud keterhutangan sehingga RM50 bilion atau apabila wang berjumlah RM2.6 bilion atau RM4 bilion masuk ke dalam akaun peribadi anda. Tetapi boleh pula wujud rasuah apabila orang yang dituduh korup tidak pula mendapat sebarang faedah.
Saya tidak akan melutut
Saya tidak akan tunduk kepada permainan politik kotor dan ganas ini untuk memusnahkan reputasi saya atau imej Pulau Pinang sebagai negeri paling bersih dan paling baik urus tadbirnya di Malaysia.
Kami bangga dengan pelaksanaan tender terbuka dan bangga dengan pujian daripada Transparency International dan laporan tahunan Ketua Audit Negara.
Kita tidak akan biarkan BN untuk cuba memalit lumpur ke muka kita demi menyembunyikan skandal rasuahnya sendiri. Kita akan buktikan bahawa kita tidak bersalah di mahkamah.
Kita akan berjuang untuk membuktikan bahawa kerajaan Pakatan adalah kerajaan yang mendahulukan rakyat, dan menjulang tinggi prinsip-prinsip integriti, keadilan, kebebasan dan demokrasi.
Masih ada harapan untuk Malaysia yang bersih dan bebas daripada rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penindasan.
Kita tidak boleh biarkan BN merompak masa depan anak cucu kita, sebagaimana mereka telah merompak masa depan kita.
Negara jenis apa yang kita mahu untuk anak cucu kita nanti, apabila mereka yang meraih untung dan derma berbilion ringgit tidak dituduh rasuah, sedangkan mereka yang tidak mendapat faedah didakwa rasuah.
BN boleh dakwa saya, tetapi tidak akan dapat membunuh iltizam saya demi membebaskan Malaysia daripada rasuah.
BN boleh memangsakan saya, tetapi tidak akan menghancurkan semangat saya untuk membebaskan saya daripada mereka yang merompak masa depan anak cucu kita.
BN malah boleh menghina saya dengan mengurung saya semalaman tanpa sebab, tetapi mereka tidak akan berjaya menukar putih menjadi hitam, dan hitam menjadi putih. Yang benar tidak akan menjadi salah, dan yang salah tidak akan menjadi benar.
BN tidak akan dapat menghancurkan kekuatan parti saya - pemimpin dan ahlinya berdiri bersama untuk berjuang ke arah penambahbaikan demi Malaysia yang lebih baik, dengan keadilan, kebebasan dan demokrasi.
Jika BN rasa ia boleh mematahkan semangat saya dengan menahan saya, mereka salah sama sekali!
Saya lebih rela mati daripada hidup melutut. Malaysia yang bebas, adil dan makmur untuk semua mesti diperjuangkan!
LIM GUAN ENG adalah Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP.