Most Read
Most Commented
Read more like this

Umno melarang Malaysiakini.com membuat liputan perhimpunan agung parti itu minggu depan dengan alasan tidak memiliki kad perakuan akhbar daripada Jabatan Penerangan.

"Lencana (pas) media (untuk acara itu) akan dikeluarkan kepada wakil-wakil media yang berdaftar dan mempunyai kad akhbar Jabatan Penerangan," kata Setiausaha Agung Umno Tan Sri Khalil Yaakob hari ini dalam taklimat media berhubung program itu.

Pas media itu akan diedarkan kepada wartawan pada 19 Jun ini.

Malaysiakini semalam difahamkan media yang "tidak membuat laporan seimbang" dilarang melaporkan acara itu, yang diadakan selama tiga hari, bermula 21 Jun di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Umno menyenaraikan beberapa organisasi media, termasuk Malaysiakini.com, yang dilarang membuat liputan itu. Akhbar web itu memohon keizinan itu beberapa minggu lalu.

Akhbar tabloid Bebas dan Harakahdaily.com juga tidak mendapat kebenaran yang sama.

Ditanya sama ada media propembangkang yang berdaftar dibenarkan membuat liputan itu, Khalil berkata "mereka boleh merujuk laporan agensi berita nasional Bernama ."

Sementara itu, Pergerakan Wanita Umno menetapkan sasaran keahlian Puteri Umno seramai 20,000 orang sebelum pelancaran rasmi sayap baru parti itu.

Pertemuan pertama

Ketua Wanita Datuk Seri Rafidah Aziz berkata, Johor dijangka mencapai keahlian paling ramai iaitu sekitar 10,000 orang, diikuti Melaka (5,000 ahli), Pulau Pinang dan Kelantan (masing-masing 2,000 orang).

Katanya, Selangor dan Terengganu masih belum mencapai bilangan ahli yang memuaskan, masing-masing seramai 300 dan 200 orang. Sementara negeri-negeri lain dijangka mencapai sasaran 1,000 orang.

Puteri Umno, yang masih di peringkat penajaan, sebelum ini berhasrat mengumpul keahliannya sehingga 1.5 juta di seluruh negara.

"Jika (Puteri Umno) sudi, Wanita boleh membantu mencari keahlian Puteri," kata Rafidah dalam satu sidang media berasingan pagi tadi.

Pergerakan itu memaklumkan pertemuan pertama jawatankuasa kerja Wanita parti-parti komponen Barisan Nasional akan diadakan buat kali pertama 8 Julai ini.

Wanita juga akan bekerjasama dengan Pemuda Umno bagi mengukuhkan lagi parti itu.

"Saya dapat persetujuan exco untuk merangka program bersama dengan Pemuda Umno.Perbincangan lanjut dengan Ketua Pemuda, (Datuk Hishamuddin Hussein) akan dilakukan untuk tentukan bentuk program," katanya.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS