Abu Backer Sidek Mohamad Zan, yang berhasrat menjadi calon dalam pilihan raya kecil Kuala Kangsar, berkata kertas pencalonannya bukan ditolak tetapi beliau mengoyak dokumen berkaitan kerana kecewa.
Katanya, laporan bahawa kertas pencalonannya ditolak oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mior Muhammad Jamil Mior Zakaria adalah tidak tepat.
“Sebabnya saya koyak borang itu, yang termasuk Borang A dan akuan berkanun dalam Borang 5, kerana saya kecewa dengan layanan yang saya terima daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang saya tafsirkan sebagai biadab dan dilayan secara tidak wajar dan ia bukan kerana kertas pencalonan ditolak,” katanya dalam surat kepada Malaysiakini.
Menjelaskan perkara itu, Abu Backer berkata pencadang dan penyokongnya tidak dibenarkan masuk ke pusat pencalonan susulan sekatan oleh pegawai polis di luar tempat itu.
“Saya tegaskan sebab saya tidak serahkan kertas pencalonan kerana saya dilayan dengan tidak wajar dan biadab oleh SPR dan saya menuntut keadilan,” katanya.
Abu Backer berada di pusat penamaan semasa hari penamaan calon pada 5 Jun tetapi tidak menjadi calon selepas mengoyak kertas pencalonan.
Empat orang bertanding dalam pilihan raya kecil itu, iaitu Mastura Md Yazid (BN), Dr Najihatussalehah Ahmad (PAS), Ahmad Termizi Ramli (Parti Amanah Negara) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (bebas).
Hari pengundian akan dijalankan esok.