RTM memohon maaf berhubung laporan yang menyebut kumpulan bersenjata Abu Sayyaf berfahaman Roman Katolik, sebuah cabang agama Kristian.
“Merujuk kepada laporan #BESDunia bertarikh 14 Jun 2016, kami memohon maaf kerana teks disalah tafsir dan RTM tiada niat untuk menguris perasaan mana-mana masyarakat,” kata RTM dalam status di Facebook.
Video permohonan maaf itu turut dimuatkan di laman sosial badan penyiaran negara itu dengan laporan yang diperbetul.
Laporan yang salah pada mulanya itu dikongsi meluas di Internet dengan hampir keseluruhan warga maya menghentamnya.
Terdapat juga yang mentafsirkan laporan itu cuba mengaitkan sesebuah agama dengan aktiviti keganasan.
Sebuah kumpulan dikenali sebagai Pertubuhan Angkatan Gabungan Rakyat Asli Sabah (Agaras) mengaku membuat laporan polis berhubung perkara itu.
“Kita bukan rasis tetapi pembetulan adalah harus. Dan jangan kita bincangkan berkaitan isu agama,” tulis badan itu di Facebook mereka.
Laporan asal itu antaranya berbunyi: "Abu Sayyaf yang berpangkalan di pulau Selatan Filipina, yang menganut Roman Katolik, terkenal dengan menculik, membunuh...”
Bagaimana, dalam laporan yang diperbetul, RTM sebenarnya merujuk kepada Filipina sebagai negara yang majoriti penduduknya beragama Roman Katolik.
Abu Sayyaf dicop di pelbagai peringkat sebagai sebuah kumpulan pengganas yang pengikutnya beragama Islam.
Rakyat Malaysia antara yang turut menjadi mangsa aktiviti kumpulan itu.
Terbaru, empat mangsa diculik Abu Sayyaf dibebaskan 8 Jun lalu selepas keluarga mendakwa membayar RM12 juta wang tebusan.