Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata beliau tidak tahu menahu berhubung surat kedua didakwa ditulis Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada PKR.
Kata timbalan presiden PKR itu, beliau sendiri tidak pasti kerana belum melihat surat yang dikatakan itu.
Azmin berkata demikian ketika ditemui media di Sungai Besar hari ini.
Memetik sumber dalaman The Star hari ini melaporkan Anwar - yang kini ditahan di Penjara Sungai Buloh - mengeluarkan surat kedua bagi mengingatkan partinya supaya berhati-hati dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Berbeza dengan surat pertama yang dibuat secara terbuka, surat kedua itu didakwa ditujukan khusus kepada Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Md Akin.
Melalui surat berkenaan Anwar didakwa menasihati anggota parlimen Bukit Katil itu supaya menggunakan kebijaksanaan dan berhati-hati ketika berurusan dengan bekas perdana menteri itu.
Menurut laporan berkenaan, peringatan itu dibuat kerana Shamsul Iskandar dilihat menghadiri beberapa pertemuan dan majlis dihadiri Dr Mahathir.
Dalam surat sebelum ini Anwar mengingatkan semua ahli PKR supaya berwaspada dengan bekas perdana menteri berkenaan.