Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Portal: Minyak enjin, cuci kereta rasuah pembangkang
Diterbitkan:  Jun 14, 2016 3:47 PM
Dikemaskini: 8:15 AM

Sebuah portal pro-Umno membidas pembangkang yang sering-kali mendakwa parti pemerintah BN cuba merasuah pengundi semasa pilihan raya tetapi melakukan perkara yang sama pada pilihan raya kecil di Sungai Besar.

Walhal menurut Mykmu.net projek yang diumumkan oleh pemimpin kerajaan adalah projek untuk rakyat.

Sambil menjadikan kempen bagi kerusi Parlimen Sungai Besar sebagai sasarannya, portal itu menyenaraikan contoh-contoh yang dianggap sebagai rasuah itu.

  • Minyak hitam motor percuma (Amanah/PKR)
  • Jual gula tanpa GST RM2/kg (PAS)
  • Sayur sawi percuma (DAP/Amanah)
  • Bas percuma untuk penduduk Sungai Besar (PKR)
  • Bubur Lambuk - edar jam 1 tengahari (Amanah/PAS/PKR)
  • Cucian kereta percuma (Amanah)

Bagi penjualan gula, Mykmu berkata bahawa GST (cukai barangan dan perkhidmatan) memang tidak dikenakan ke atas barangan berkenaan.

Selain itu, portal berkenaan juga melaporkan mengenai majlis makan, sahur, berbuka termasuk cabutan bertuah yang diadakan hampir setiap hari di beberapa buah restoran yang didakwa milik penyokong pembangkang.

“Sama ada memang milik penyokong pembangkang atau memang dibayar untuk mengadakan semua jamuan tersebut oleh parti pembangkang yang berkenaan.

“Jadi pendek kata banyaklah sumber, mana datang, ini yang nak kena siasat dan sama ada semua ‘rasuah’ yang di atas menyalahi peraturan atau tidak,” katanya.

Antara lain, portal itu juga menyiarkan semula poster gambar calon Amanah, Azhar Abdul Shukor yang mempelawa penduduk untuk menonton perlawanan Euro 2016 antara Itali dan Belgium di sebuah restoran tempatan.

Mereka yang menyertainya berpeluang memenangi cabutan bertuah dan jersi bola sepak serta topi keledar.

Azhar akan menghadapi calon BN Budiman Mohd Zohdi dan calon PAS Dr Abdul Rani Osman pada pilihan raya kecil 18 Jun ini.

Kerusi itu kosong selepas penyandangnya Tan Sri Noriah Kason terbunuh dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada Mei lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS