Siasatan terhadap anggota parlimen PKR Rafizi Ramli, susulan “gurauan” berkaitan bom atom terhadap perdana menteri, mengundang kemarahan sekutunya dalam Dewan Rakyat daripada DAP.
Lim Lip Eng, dalam kenyataannya selepas Rafizi disiasat atas dakwaan ugutan jenayah, melemparkan kritikan keras terhadap kerajaan dan pihak berkuasa.
“Hanya kerajaan yang bodoh dan pihak polis yang bengap akan merasa bimbang dengan belon kuning, karikatur badut dan metafora ‘bom’ yang digunakan dalam ceramah politik,” katanya.
“Kenapa begitu pantang sekali dengan satira politik, walhal pihak-pihak tertentu boleh sahaja selamba melemparkan ugutan bermandi darah dan menghunus keris dalam perhimpunan besar-besaran tanpa sebarang tindakan?”
Beliau dipercayai turut menyentuh isu pendakwaan terhadap 'gadis belon' Bilqis Hijjas dan kartunis politik Zunar.
Rafizi disiasat atas dakwaan ugutan jenayah. Beliau sebelum ini berkata berharap calon Pakatan Harapan Dr Ahmad Termizi Ramli 'membaling bom atom' kepada Datuk Seri Najib Razak jika menang dalam pilihan raya kecil 18 Jun ini.
Rafizi menjelaskan bahawa beliau hanya bergurau ketika berdepan “kegilaan politik Malaysia”.
Terus memanjangkan gurauan Rafizi itu, Lim berkata, terdapat “bom jangka” lain dalam negara, iaitu syarikat pelaburan negara 1MDB.
“Perdana Menteri yang mempunyai akal fikir yang sihat akan meletakkan jawatan ekoran bom yang satu ini.
“Kerajaan yang bertanggungjawab akan memberitahu rakyat negara ini bagaimana kerajaan merancang untuk mematikan bom jangka ini,” katanya.