Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peruntukan RM2j tingkat kemudahan Hospital Kuala Kangsar
Diterbitkan:  Jun 10, 2016 3:26 PM
Dikemaskini: 8:12 AM

Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi menambah baik pelbagai kemudahan dan kelengkapan peralatan di Hospital Kuala Kangsar dalam tempoh terdekat ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata pihaknya telah mengenal pasti khususnya keperluan peralatan tertentu yang perlu ditambah baik bagi meningkatkan mutu perkhidmatan hospital itu kepada penduduk Kuala Kangsar.

"(Selain itu) pakar-pakar di Hospital Taiping dan di Ipoh juga akan menjalankan tugas di sini secara giliran untuk memberikan rawatan di peringkat pakar," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Hospital
Kuala Kangsar hari ini.

Beliau berkata perkhidmatan doktor pakar itu juga dilihat akan mengurangkan kesesakan di Hospital Taiping dan Ipoh.

Hospital Kuala Kangsar mempunyai 136 buah katil dan empat wad meliputi wadlelaki, wanita, wad bersalin dan wad kanak-kanak dengan kekuatan jumlah doktor sebanyak 18 orang.

Berkenaan menaikkan hospital itu bertaraf hospital pakar, Subramaniam berkata ia bergantung kepada keadaan dan keupayaan kewangan kerajaan.

Mengulas mengenai pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar, beliau yang juga presiden MIC berkata sebanyak 2,299 pengundi India layak mengundi untuk PRK itu pada 18 Jun.

Beliau berkata jentera kempen MIC sedang mengenal pasti semua pengundi berkenaan dan setakat ini sentimen pengundi dilihat positif dalam menyokong calon Barisan Nasional Datin Mastura Mohd Yazid.

PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara BN, PAS, AMANAH dan Bebas.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS