Majlis Agama Islam Selangor (Mais) sekali lagi mengingatkan semua pihak agar tidak mencemarkan kesucian masjid dengan menjadikan kawasan ibadah itu sebagai tempat berpolitik, kata pengerusinya, Mohamad Adzib Mohd Isa.
"Mais selaku pemegang amanah tunggal bagi semua masjid dan surau seluruh negeri Selangor bertanggungjawab memastikan agar fungsi dan peranan masjid sentiasa berjalan baik bagi manfaat masyarakat Islam setempat.
"Ini termasuklah menjaga keharmonian masjid dengan memastikan masjid dan kawasannya sebagai zon bebas dengan tidak menjadikan masjid tempat berpolitik," katanya pada kenyataan media hari ini.
Tegasnya, masjid bukan tempat menyebarkan fitnah dan berita tidak tepat serta hasutan untuk membenci antara satu sama lain.
"Terutamanya pada bulan Ramadhan, kesucian institusi masjid perlu dipelihara bagi membolehkan umat Islam beribadat dengan selesa dan dapat meraih sebanyak ganjaran yang dijanjikan oleh Allah SWT khususnya mengerjakan solat sunat tarawih 20 rakaat seperti yang diamalkan oleh Saidina Umar Al-Khattab," ujarnya.
Mohd Adzib turut mengingatkan titah Sultan Selangor pada 8 Mac lalu agar imam-imam di negeri itu tidak memanggil penceramah, pendakwah dan khatib yang tidak mempunyai tauliah dengan MAIS.
"Ini adalah bagi mengelakkan penularan dan penyebaran fahaman serta doktrin salah yang mudah masuk dan diterima oleh masyarakat Islam setempat," ujarnya.
Tambahnya, Mais melalui Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan memastikan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan larangan itu dipatuhi.
"Mais dan JAIS mengharapkan kerjasama dari semua pihak untuk tampil ke hadapan membuat aduan sekiranya terdapat khutbah, ceramah dan sebagainya yang berunsurkan politik di dalam masjid di negeri Selangor," katanya.
