Suspek pedofil Richard Huckle dipercayai melakukan penderaan seksual kepada sekurang-kurangnya 23 kanak-kanak terutamanya golongan miskin di Kuala Lumpur tetapi bagaimana polis tidak menyedarinya?
Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching mengemukakan soalan ini selepas pihak berkuasa United Kingdom mengenakan 91 tuduhan terhadap Huckle.
Lelaki itu mengaku bersalah melakukan perbuatan itu terhadap mangsa berusia antara enam bulan dan 12 tahun pada 2006 hingga 2014.
"Walaupun saya bersyukur kerana dia kini dibawa ke muka pengadilan oleh pihak berkuasa UK, saya menuntut penjelasan daripada Polis Diraja Malaysia sama ada sebarang laporan polis dibuat terhadap Huckle ketika berada di Malaysia di antara tahun 2006 dan 2014.
"Jika benar laporan polis oleh keluarga mangsa telah dibuat terhadap Huckle, maka soalan seterusnya apa yang polis lakukan berikutan laporan itu?" katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Teo berkata, lelaki British itu dipercayai mendera sehingga 200 kanak-kanak dan ia tidak mungkin dilakukan tanpa disedari.
"Oleh itu, adalah sukar untuk mempercayai bahawa tidak ada ibu bapa atau penjaga kanak-kanak ini telah melihat apa-apa yang luar biasa dan tiada seorang pun daripada mereka pernah membuat laporan polis terhadap pedofil ini.
"Jika laporan polis telah dibuat dan tindakan sewajarnya telah diambil, pasti kita boleh mencegah ramai kanak-kanak daripada menjadi mangsa," katanya.
Teo turut menggesa Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat segera mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa UK dan mengenal pasti mangsa untuk membantu mereka.
"Kita bukan sahaja perlu menyediakan kaunseling kepada mangsa, tetapi juga memastikan sama ada ibu bapa atau penjaga telah cuai dalam menjaga anak-anak," katanya.
Teo berkata Seksyen 21 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000, penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya bagi mana-mana orang yang menyebabkan kanak-kanak di bawah jagaan mereka didera kerana cuai.
"Penalti terus meningkat kepada RM50,000 dan 20 tahun di bawah Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2016 yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 April 2016," katanya.
Bagaimanapun, Teo berkata penalti itu tidak akan membawa sebarang makna jika undang-undang itu tidak dikuatkuasakan.