Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti Islam itu kini mengamalkan politik matang dengan tidak hanya membangkang semata-semata terhadap agenda kerajaan.
Katanya, perubahan itu dilakukan sebagai persiapan untuk mengambil alih kerajaan dengan menjauhi penampilan retorik tanpa membawa pelan penyelesaian.
"Bagi menggalas tanggungjawab sebagai kerajaan menanti, PAS selayaknya mempersiapkan diri untuk berperanan sebagai pemerintah. Justeru itu, orientasi PAS kini berbeza.
"Bukan lagi membangkang tetapi mengemukakan penyelesaian berasaskan cara dan kaedah penyelesaian Islam terhadap kepincangan yang berlaku sama ada dalam urusan ekonomi mahupun politik dan sosial.
"Politik yang melampau dan kasar ini kadangkala menyebabkan rakyat awam tersepit sehingga tidak lagi mempercayai janji politik sama ada dari pihak kerajaan atau pembangkang," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Muktamar Tahunan PAS kali ke-62 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK), Kota Bharu hari ini.
Sementara itu, Hadi juga menasihatkan anggotanya supaya beradab dan tidak menggunakan bahasa kasar apabila berhadapan dengan pemimpin lain.
Beliau memetik ayat al-Quran yang memerintahkan Nabi Musa dan Nabi Harun menggunakan kata-kata lemah-lembut di hadapan firaun yang melampau batas.
"Kalau pemimpin paling kejam dalam dunia pun Allah suruh (Nabi) Musa dan Harun berlembut, inikan pula pemimpin lain yang tak sampai tahap Firaun.
"Kenapa kita berkeras menggunakan bahasa kasar? Ini adab yang diajar oleh Allah," katanya.
Katanya, ia perlu dilakukan supaya parti Islam itu tidak membawa imej yang tidak membangunkan minda.
"Di peringkat ini, kita sedaya upaya menolak beberapa pendekatan negatif dan tidak membangunkan minda apatah lagi orientasi berteraskan kebencian dan provokasi," katanya lagi.