Naib Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini membuat laporan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah wang dan wanita dalam kerajaan Selangor.
Beliau ditemani oleh Ketua Sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah dan dua anggota parlimen, iaitu Wong Chen (Kelana Jaya) dan G Manivannan (Kapar).
Rafizi yang tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 11.45 pagi, menghabiskan kira-kira sejam sebelum meninggalkan bangunan itu.
Ditemui selepas laporan, beliau enggan mendedahkan maklumat lanjut laporannya, termasuk individu disebut dan sejauh mana serius kesalahan itu.
“Saya terikat dengan Akta SPRM, jadi saya tidak boleh dedah butiran lanjut,” katanya.
Beliau meminta orang ramai tidak membuat spekulasi dan membenarkan SPRM lakukan tugasnya.
Rafizi membuat dakwaan itu dalam perbualan dalam aplikasi pesanan WhatsApp yang bocor.
Biro politik PKR sebelum ini mengarahkan Rafizi supaya membuat laporan dan mengemukakan bukti kepada SPRM.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali menolak dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai kempen memburuk-burukkan.
Kejadian berlaku dilihat pelbagai pihak sebagai petanda perpecahan dalam PKR.