Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata beliau "bersimpati" dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang tidak mengikuti perkembangan partinya sendiri.
Ini kerana, kata timbalan presiden PKR itu, sebaik saja pengumuman mengenai dua pilihan raya kecil yang akan diadakan 18 Jun depan, pihaknya telah bertemu dua kali dengan kepimpinan PAS.
"Kadang-kadang saya simpati dengan Ustaz Hadi ini, mungkin dia tidak tahu apa yang berlaku dalam parti," kata Azmin ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran program #SmartSelangor Food Stamp 2016 di Sungai Besar, Selangor hari ini.
Azmin berkata demikian ketika diminta mengulas penafian PAS berhubung pertemuan parti itu dengannya.
Hadi beberapa hari lalu memaklumkan Azmin tidak pernah mengadakan perbincangan dengannya berkenaan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang akan dijalankan serentak pada 18 Jun ini.
Mengulas lanjut, anggota parlimen Gombak berkata beliau telah bertemu dengan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali dan Setiausaha Politik Hadi, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar.
Azmin berkata melalui pertemuan itu beliau percaya pimpinan kanan PAS itu akan memaklumkan maklumat perbincangan berkenaan kepada Hadi.
"Saya telah bertemu dua kali dengan pimpinan tinggi PAS. Semalam saya ada perjumpaan dengan pemimpin tertinggi AMANAH. Ia berjalan dengan baik dan positif. Saya juga telah berbincang dengan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) politik utama negara.
"Saya juga bertemu dengan ketua menteri Pulau Pinang dan perbincangan cukup positif.
"Jadi, saya percaya pimpinan tertinggi ini akan melaporkan kepada presiden," kata Azmin.
Dengar semua pandangan
Bagaimanapun, ADUN Bukit Antarabangsa itu berkata beliau tidak dapat memuktamadkan keputusan berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, beliau yakin semua pihak akan mencapai persetujuan bersama dalam masa terdekat.
Azmin juga berkata pihaknya masih ada masa untuk menyelesaikan isu pemilihan calon pembangkang sebelum hari penamaan calon tiba.
"Hari ini 20 Mei 2016, lama lagi. Ada 15 hari lagi untuk penamaan calon," kata Azmin.
Beliau juga menyatakan kesediaan untuk bertemu dan berbincang dengan Hadi berhubung isu berkenaan.
"Saya jumpa semua orang dan saya bersedia berjumpa dengan Abdul Hadi," tegas Azmin.
Sementara itu mengulas harapan Tuan Ibrahim agar HARAPAN tidak meletakkan calon di kerusi Parlimen Sungai Besar, Azmin berkata beliau mendengar pandangan tersebut.
"Sudah tentu mereka juga ada hujah untuk bertanding di Sungai Besar tetapi saya mengambil sikap terbuka untuk mendengar pandangan semua pemimpin untuk mencari keputusan yang lebih baik.
"Saya mengambil sikap, perbincangan dan perbezaan pandangan sebenarnya suatu kekuatan sebelum membuat keputusan," katanya.