Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
WSJ: Jho Low lucut aset termasuk karya seni berikutan siasatan
Diterbitkan:  May 20, 2016 11:38 AM
Dikemaskini: 3:42 AM

Jutawan Jho Low terus menjual pelaburannya bernilai puluhan juta dolar ketika siasatan berterusan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat ke atas 1MDB, lapor The Wall Street Journal (WSJ).

Kali ini, beliau dilaporkan menjual sebahagian daripada pelaburannya yang paling terkenal di Amerika Syarikat, termasuk lukisan sepasang penagih dadah oleh artis avant-garde Jean-Michel Basquiat yang bernilai AS$35 juta.

Februari lalu, beliau menimbulkan kekecohan di dunia seni dengan menjual antara lain, karya Claude Monet dan Pablo Picasso.

Lukisan-lukisan itu dijual pada harga kira-kira AS$54 juta, yang menyaksikan "kerugian luar biasa”.

WSJ yang memetik sumber yang biasa dengan siasatan melaporkan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) sedang menyiasat urusan kewangan Low di Amerika Syarikat dan di luar negara.

Juga dilaporkan bahawa penyiasat percaya hartawan berusia 35 tahun itu menggunakan dana firma pelaburan Malaysia yang kontroversi, iaitu 1MDB bagi membeli sebahagian karya seni dan hartanahnya.

Malaysiakini tidak boleh mengesahkan tuntutan dalam laporan WSJ itu.

Bulan lalu, Low menjual karya agung koleksi seni AS$ 300 juta miliknya - iaitu lukisan Basquiat pada 1982 yang bertajuk 'Dustheads' - melalui rumah lelongan Sotheby pada nilai AS$35 juta. Beliau membuat kerugian sebanyak AS$13.8 juta.

Taikun itu dilaporkan membeli lukisan berkenaan pada bulan Mei 2013 di Christie New York pada harga AS$48.8 juta.

Low juga bersetuju untuk menjual kepentingannya di Park Lane Hotel di Manhattan - sebuah hotel 46 tingkat menghadap Central Park - untuk harga yang tidak didedahkan.

Menurut WSJ yang memetik sumber, Low membayar AS$175 juta untuk pegangan 45 peratus dalam hotel itu, tiga tahun lalu.

WSJ berkata tokoh kontroversi yang membantu menubuhkan 1MDB itu juga telah menjual sekurang-kurangnya hasil seni bernilai AS$205 juta, termasuk lukisan Basquiat dan beberapa keping lagi oleh Pablo Picasso dan Claude Monet.

WSJ kata peguam Low tidak bertindak balas terhadap permintaan mereka untuk mendapatkan komen. Low telah menafikan sebarang salah laku.

Urusan kewangannya kini di bawah penelitian apabila penyiasat di seluruh dunia menjejaki lebih daripada AS$6 bilion didakwa disalurkan keluar dari 1MDB antara 2009 dan 2015, menurut WSJ.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS