Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peneroka tanam pisang, ubi kayu di tanah bekas lombong bauksit
Diterbitkan:  May 13, 2016 3:34 PM
Dikemaskini: 7:40 AM

Deretan pokok pisang, ubi kayu dan anak sawit yang ditanam peneroka Surin Deris membuktikan tanah bekas lombong bauksit boleh diusahakan semula, jika mempunyai keazaman dan kerajinan.  
    
Surin, 68, yang merupakan generasi peneroka pertama di Tanah Rancangan Pemuda (RTP) Bukit Goh berkata semua tanaman itu termasuk keledek dan serai ditanam sejak akhir tahun lalu, kira-kira sebulan selepas aktiviti melombong bauksit selesai. 
    
Beliau menambah, sebanyak satu hektar daripada keseluruhan dua hektar tanah sawitnya dipajakkan kepada pengusaha bauskit dan kerja-kerja melombong bauksit bermula pada Mei 2015. 
    
"Bauksit habis dilombong pada Oktober 2015. Pengusaha bauksit meratakan semula tanah top soil ke lubang yang dikorek (bagi mengeluarkan bauksit) dan pada Disember saya mula menanam pisang. 
    
"Sejak ditanam, saya hanya menyiram pokok anak sawit manakala pokok pisang dan ubi kayu pula sangat jarang disiram dan masih bertahan walaupun musim panas," katanya kepada pemberita semasa ditemui di kebunnya di Kuantan hari ini. 
    
Surin yang memasuki tanah rancangan itu pada usia 18 tahun menambah buat permulaan, beliau menanam pelbagai jenis pisang yang mudah diperoleh 'anak'
seperti pisang nangka, pisang siam dan pisang lemak manis serta berharap akan dapat mengutip hasil tidak lama lagi.  
    
"Paling risau adalah ancaman babi. Sebab itu saya buat halangan yang akan menghasilkan bunyi jika dilangggar," katanya merujuk kepada deretan botol plastik air mineral yang diikat pada tali kira-kira seinci daripada tanah. 
    
Selain ancaman haiwan, Surin menambah beliau juga bimbang dengan ancaman pihak tidak bertanggungjawab yang mencuri kerana beberapa barangan termasuk dua tong plastik yang diletakkan di tanahnya pernah hilang.
    
Mengulas mengenai niat untuk menanam di tanah bekas bauksit, Surin menjelaskan bahawa cubaan untuk menanam pisang bermula apabila melihat beberapa pokok hutan mulai 'hidup' di atas tanah yang kosong itu. 
    
"Ramai yang kata tanah bekas lombong bauksit tidak subur dan tidak boleh ditanam apa-apa. Tapi saya rasa jika pokok hutan boleh tumbuh, apa lagi jika pokok yang sengaja ditanam dan dijaga. 
    
"Tambahan pula, top soil iaitu lapisan atas tanah sudah diratakan kembali dan pada saya lapisan ini yang banyak khasiat diperlukan pokok," katanya dan menambah dua rakannya turut menaman kelapa mawar dan kelapa sawit di bekas tapak lombong bauksit mereka. 

Kebun itu juga pernah didatangi beberapa penyelidik yang berminat mendapatkan sampel tanah bagi tujuan kajian dan Surin dengan berbesar hati memberi keizinan kerana beliau juga berminat untuk mengetahui hasil kajian itu. 

"Namun, sampai sekarang saya masih tidak dihubungi (untuk mengetahui hasil kajian) oleh mereka yang datang," katanya.   
    
Sebagai seorang daripada peneroka terawal terlibat dengan bauksit, Surin berkata adalah penting untuk peneroka yang terlibat mempunyai pengetahuan dan mengambil tahu serta meneliti perjanjian dengan pengusaha bauksit.
    
Selain mengelakkan penipuan dalam jumlah bayaran, perjanjian yang ditandatangani juga hendaklah secara terperinci menyatakan kaedah bahan mineral itu dikeluarkan dan tanggungjawab pengusaha untuk menimbus semula tanah yang dikorek agar tidak menyusahkan peneroka.

"Apabila tidak dikambus semula, itu yang menyebabkan lubang besar tertinggal dan menjadi seakan-akan kolam apabila hujan lebat. Jika bukan tanggungjawab pengusaha, siapa yang mahu kambus (tanah)? 
    
"Peneroka tidak mempunyai mesin dan jentera yang mampu melakukan kerja-kerja itu. Itu penting kena teliti dan jangan gelap mata bila pengusaha bawa wang tunai depan kita," katanya dan menambah beliau memantau proses melombong bauksit di tanahnya setiap masa bagi memastikan kerja yang dijalankan mengikut perjanjian. 
    
Surin menambah apa yang lebih penting bagi peneroka adalah berhemah dalam membelanjakan wang hasil bauksit dan mempunyai pelan tindakan selepas bauskit habis dilombong.
    
"Sekarang rutin pagi saya mudah. Habiskan masa sejam dua di kebun. Kudrat orang tua bukan kuat mana sangat, tapi puas hati bila dapat 'exercise' (bersenam) cara kampung dan seronok tengok pokok menjadi," katanya.  

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS