Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Salleh: Tindakan Zunar kritik PM malukan negara

Tindakan kartunis kontroversi, Zulkifli Anwar Ulhaque atau Zunar yang mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui karyanya dalam satu pameran di Geneva, Switzerland disifatkan sebagai menghina pemimpin yang telah dipilih rakyat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata selain didakwa memalukan negara, beliau tidak menolak kemungkinan wujud unsur gabungan yang mahu menjatuhkan perdana menteri.

"Saya kesal dengan perbuatannya. Kalau ada pun perbezaan pendapat dan sebagainya, uruslah dalam Malaysia.

"Tidak salah jika kita berbeza pendapat, bahkan tidak salah juga jika tak setuju dengan pandangan kerajaan tapi kenapa perlu libatkan negara lain," katanya kepada pemberita selepas sesi meja bulat dan dialog kementerian berkenaan di ibunegara hari ini.

Salleh berkata Malaysia adalah negara demokrasi yang tidak menyekat mana-mana pihak untuk memberikan pendapat namun perlulah secara berhemah.

Selain memberi gambaran negatif tentang masyarakat Malaysia kepada negara luar, tindakan seumpama itu juga dilihat mensabotaj ekonomi negara yang secara tidak langsung membantutkan keyakinan pelabur ke Malaysia.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS