Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perkembangan baru BN: SPDP, UPP, Teras dijadual bergabung

Tiga parti BN Sarawak bakal bergabung dan menjadi parti kedua terbesar dari segi kerusi di dewan undangan negeri.

Malaysiakini difahamkan bahawa penggabungan itu akan membabitkan SPDP, parti serpihannya, Teras dan UPP.

Setiausaha Agung UPP, George Lo ketika dihubungi berkata, pengabungan itu masih dalam pertimbangan.

"Ya, kami sedang mempertimbangkan tawaran mereka. Kami sedang berbincang tetapi tiada persetujuan dicapai. Itulah status sekarang," kata Lo.

Sementara itu, sumber memberitahu Malaysiakini bahawa pada Isnin lalu, SPDP telah menghubungi Teras dan UPP dan ketiga-tiga parti telah memuktamadkan struktur asas penggabungan mereka malam semalam.

Berita penggabungan ini timbul apabila Teras mengumumkan bahawa ia akan dibubarkan berkuat kuasa hari ini.

Pemangku Presiden Teras Peter Nansian dipetik oleh akhbar Borneo Post sebagai berkata bahawa parti itu akan mengikut jejak ADUN William Mawan, Rosey Yunus dan Paulus Palu Gumbang, untuk menyertai satu lagi parti komponen BN secara beramai-ramai.

Pemimpin UPP dan Teras diminta keluar parti masing-masing bulan lalu, apabila mereka diletakkan sebagai calon terus BN pada pilihan raya negeri Sarawak, minggu lalu.

Daripada calon terus BN yang bertanding dan menang itu, lima adalah dari UPP dan tiga dari Teras. Tiga lagi tidak mewakili mana-mana parti politik.

Jika penggabungan itu akan menjadi kenytaaan dengan penyertaan calon terus yang tidak mempunyai parti, entiti yang bersatu itu akan menjadi parti kedua paling berkuasa di DUN Sarawak, dengan sejumlah 15 kerusi, berbanding SUPP tujuh dan PRS 11.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS