Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bahasanya kesat tapi bukan rasis, kata Kit Siang
Diterbitkan:  May 10, 2016 8:29 PM
Dikemaskini: 12:41 PM

Lim Kit Siang menempelak pemimpin bermulut celupar dari DAP, Hew Kuan Yew susulan pemilihan kata-katanya semasa berceramah dalam kempen parti itu semasa pilihan raya negeri Sarawak, baru-baru ini.

Bagaimanapun, pemimpin veteran DAP itu tidak menganggap kenyataan Hew sebagai bersifat perkauman seperti yang didakwa oleh pengkritiknya.

Bercakap kepada Malaysiakini, Lim mempersoalkan bahawa kenyataan perkauman adalah bertentangan dengan prinsip yang didokong oleh DAP, dan Hew menggunakan analogi yang sama tidak mengira kaum.

“Namun bahasanya, yang beliau gunakan menentang rasuah tidak mengira kaum, adalah terlalu kesat dan tidak sensitif yang sama sekali saya tidak boleh bersetuju.

“Hew sepatutnya lantang tanpa menggunakan bahasa kasar dan menghentikan menggunakan perkataan kesat,” katanya.

Ditanya apakah DAP bercadang untuk mengambil tindakan ke atas Hew, Lim enggan mengulas.

Hew yang dikenali sebagai ‘Superman’ di kalangan penyokongnya kerana sering memakai baju superhero komik itu menerima kecaman hebat setelah video ucapan beliau yang disiarkan menerusi Skype, menyebut, jika terpilih, Abdul Aziz akan “skru Melayu” sendiri, “skru pegawai Melayu yang rasuah” dan “skru Parti Bersatu Bumiputera yang pok kai”.

Antara yang mengkritik ucapan Hew ialah Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang.

"Jika pemimpin DAP tidak anti-Melayu, maka mengapa meminta pengundi untuk mengundi calon DAP untuk 'skru' Melayu? Ucapan kamu direkodkan dalam video.

"Lihat video itu dan nilai sendiri sama ada pemimpin DAP berkata mengundi calon mereka untuk 'skru orang Melayu' ... Anda jadi hakim," kata Tan dalam laman sosial.

MCA pula membidas DAP kerana memainkan isu perkauman semasa pilihan raya negeri Sarawak dengan menyifatkan tindakan Hew itu sebagai politik keji.

Dalam reaksi segeranya, Hew menafikan dirinya seorang anti-Melayu dan sebaliknya, mengakui dirinya adalah anti ahli politik BN dan PBB kerana mengamalkan rasuah semasa berkempen pada pilihanraya itu.

"Jika saya anti-Melayu, saya tidak akan merayu agar para pengundi untuk menyokong Abdul Aziz Isa dan menolak calon PKR yang berbangsa Cina," kata Hew lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS