Lim Hock Seng hari ini menafikan kos kajian feasibiliti cadangan terowong bawah laut mencecah RM305 juta, seperti yang didakwa Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Pulau Pinang itu berkata, kos sebenar kajian berkenaan yang turut melibatkan tiga lebuh raya ialah RM51.27 juta.
"Kos tersebut hanyalah 0.93 peratus daripada kos pembinaan, yang keseluruhannya berjumlah RM6.341 bilion.
"Kos kajian feasibiliti untuk tiga projek lebuh raya ialah RM31.269 juta dan terowong bawah laut RM20 juta.
“RM305 juta itu kos untuk kajian feasibiliti, kesan alam sekitar, reka bentuk terperinci manakala kos keseluruhan untuk pembinaan tiga projek lebuh raya terowong bawah tanah ialah RM6.341 bilion,” jelas Lim semasa sidang akhbarnya.
Minggu lalu, Abdul Rahman mahu kerajaan negeri Pulau Pinang menjelaskan kos kajian feasibiliti cadangan terowong bawah laut yang dikatakan mencecah RM305 juta.
Ujar Abdul Rahman, jumlah itu adalah sekali ganda daripada perbelanjaan kerajaan negeri yang diterajui oleh DAP itu bagi program kebajikannya untuk warga emas, ibu tunggal, bayi baru lahir dan lain-lain.
Kenyataan Abdul Rahman itu memetik kenyataan wakil rakyat PKR dari Kebun Bungah, Cheah Kah Peng sebelum ini yang mendedahkan laporan Jawatankuasa Akaun Awam Pulau Pinang yang menyatakan hampir RM139 juta telah dibayar kepada firma perunding untuk kajian tersebut.
Mengulas lanjut, Lim menambah, jumlah kos itu adalah berpatutan dan telah dibandingkan dengan panduan “skala yuran” dari badan profesional luar negara dan tempatan antaranya Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) dan Persatuan Akitek Malaysia.
Badan lain yang terlibat ialah Institut Juruukur Malaysia, Institut Pengurusan Projek, Jabatan Pengangkutan Amerika Syarikat, Unit Perancangan Ekonomi dan Jabatan Perdana Menteri, jelasnya.
Mengenai dakwaan Abdul Rahman itu, Lim berkata, menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan itu mahu mensabotaj dan melihat kegagalan projek tiga lebuh raya dan terowong tersebut dengan membuat tuduhan tidak berasas.
"Projek berkenaan akan memberi manfaat kepada rakyat dan kebanyakan tuduhan itu bukan perkara baru kerana ianya telah dijawab semasa persidangan dewan undangan negeri yang lalu," tegasnya.