PKR tidak menganggap penggunaan logo tunggal bagi Pakatan Harapan (HARAPAN) bertanding dalam pilihan raya sebagai keutamaan.
Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata apa yang lebih penting ialah dasar kerjasama yang kukuh sesama anggota gabungan pembangkang itu.
Azmin yang juga menteri besar Selangor berkata semasa Pakatan Rakyat masih wujud dulu mereka sudah mengemukakan cadangan itu kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) namun tidak mendapat reaksi diharapkan.
"Semasa Pakatan Rakyat dulu lagi kita telah kemukakan kepada RoS untuk wujudkan satu logo tetapi sehingga sekarang tidak ada jawapan.
"Pengalaman kita (menunjukkan) kerajaan persekutuan tidak memberikan sebarang pertimbangan terhadap perkara tersebut," kata Azmin ketika ditemui pemberita di Bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor Shah Alam hari ini.
Parti Sosialis Malaysia (PSM) semalam dilaporkan sebagai berkata parti di dalam HARAPAN perlu mengikuti jejak BN menggunakan satu logo ketika bertanding di dalam mana-mana pilihan raya.
Majoriti dua pertiga
Bekas setiausaha agungnya S Arutchelvan berkata ia perlu bagi mengelakkan pertindihan kerusi seperti dilihat pada pilihan raya Sarawak berulang lagi.
Bagaiamanapun, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM itu juga menyatakan sehingga kini tidak ada usaha yang serius untuk pembangkang menyelesaikan masalah berkenaan.
Azmin berkata pada pandangannya apa yang lebih penting untuk HARAPAN sekarang ialah bergerak "dengan satu nada dalam dasar bersama".
Ia, katanya, perlu dibuat setelah gabungan dalam gagasan itu mendengar pandangan rakyat.
Dalam pilihan raya negeri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem berjaya membentuk kerajaan dengan majoti dua pertiga apabil berjaya menguasai 72 daripada 82 kerusi dipertandingkan.
DAP bertanding di 31 kerusi namun hanya memenangi tujuh daripadanya berbanding 12 sebelum ini.
PKR pula memenangi tiga daripada 41 kerusi yang ditandingi. PAS dan Parti Amanah Negara pula gagal mendapat sebarang kerusi.