Cuaca mendung dan hujan di beberapa kawasan di Sarawak, termasuk di bahagian Betong, Sarikei, Mukah dan Bintulu diramalkan pada pagi hari pengundian pilihan raya negeri Sarawak, Sabtu ini.
Menurut jurucakap Jabatan Meteorologi Sarawak, hujan juga dijangka berlaku di satu dua tempat di kawasan Sibu, Kapit, Miri dan Limbang, dan di sebelah petang, ribut petir dan hujan dijangka berlaku di satu dua tempat di semua kawasan.
Sementara itu suhu minimum bagi seluruh negeri dijangka 24 darjah Celcius, dan suhu maksimum boleh mencapai 35 darjah Celcius, katanya kepada Bernama, hari ini.
Beliau berkata di sebelah malam satu dua tempat di bahagian Bintulu dan Kapit dijangka hujan.
Pengundian bagi pilihan raya negeri yang melibatkan 80 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan sebanyak 1,085,087 orang pengundi Sabtu ini akan dibuka mulai pukul 8 pagi dan ditutup pada 5 petang.
Bagaimanapun beberapa tempat akan ditutup lebih awal mengikut lokasi dan jumlah pengundi.
Pengundian Sabtu ini tidak melibatkan DUN Bukit Kota dan Bukit Sari yang dimenangi tanpa bertanding oleh penyandang kedua-dua kerusi itu iaitu Dr Abdul Rahman Ismail dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan pada hari penamaan calon 25 April lepas.
- Bernama