Seramai 40 calon PKR yang bertanding pada pilihan raya negeri Sarawak ke-11, hari ini sepakat membuat lima tuntutan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Dalam kenyataan medianya, calon-calon PKR berkata, tuntutan berkenaan dibuat bagi pihak rakyat Sarawak yang akan mengundi pada Sabtu ini.
“Isu-isu yang dibangkitkan sejajar dengan kepentingan rakyat negeri Sarawak.
“Kami mendesak Najib memberi reaksi dengan segera terhadap isu yang kami bangkitkan ini, kerana jawapan itu sudah lama dinantikan,” kata mereka.
Tuntutan-tuntutan lain adalah:
1) Hak 20 peratus royalti minyak untuk Sarawak
Kami mahukan 'keadilan petroleum' untuk Sarawak. Kami menuntut kerajaan persekutuan untuk merealisasikan 20 peratus royalti minyak untuk Sarawak, oleh kerana rakyat Sarawak telah lama diperdaya berhubung minyak dan gas yang disedut dari negeri kami.
Sarawak kaya dengan sumber, kami adalah penyumbang ketiga terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di kalangan semua negeri.
Bagaimanapun, pendapatan purata isirumah kami berada di tangga ke-8 antara semua negeri di Malaysia.
2) Pembatalan Akta Sempadan Laut 2012
Kami menuntut pembatalan Akta Sempadan Laut 2012 di Sarawak, kerana undang-undang itu menyekat kawalan sempadan negeri dalam jarak tiga batu nautika sebagai tidak berperlembagaan.
Ia akan secara efektifnya, merendahkan integriti wilayah negeri dan sekaligus membenarkan Putrajaya menafikan tuntutan Sarawak di masa depan untuk pendapatan minyak dan gas serta sumber lain yang ditemui dalam sempadan wilayah kami.
3) Pembatalan Perjanjian Petroleum Tiga Pihak 1974
Perjanjian tersebut, antara kerajaan negeri, kerajaan persekutuan dan Petronas hendaklah dibatalkan kerana ia tidak menjaga kepentingan rakyat Sarawak.
Kerajaan negeri perlu berbincang untuk penyusunan dan perjanjian baru mengenai kaedah penggunaan sumber minyak dan gas di Sarawak.
Selain tiga tuntutan di atas yang berkait rapat dengan sumber petroleum, calon-calon PKR itu turut membuat dua tuntutan lain, iaitu pengiktirafan penuh Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) dan penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi sekolah rendah dan menengah.